[VIDEO] Selain 'overconfident', ini lagi 2 sebab gelombang hijau gagal di Johor


  • Politik
  • Ahad, 10 Sep 2023

PRK yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan PH berjaya mengekalkan penguasaan mereka di kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram.

SEPERTI dijangka, Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan mereka di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

Gabungan parti itu dilihat tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Keputusan rasmi menyaksikan calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker Dun Johor menang selesa dengan meraih 48,283 undian.

Jumlah itu jauh mengatasi pesaingnya iaitu calon daripada Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang memperolehi 29,642 undi dan calon bebas, Samsudin Mohamad dengan 528 undi.

Sementara itu, bagi PRK Dun Simpang Jeram pula, calon PH, Nazri Abdul Rahman berjaya memperoleh sebanyak 13,844 undian.

Beliau mengalahkan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dengan 10,330 undi sementara S Jeganathan (calon bebas) dengan 311 undi.

PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram diadakan ekoran kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Julai lalu.

Kerajaan Perpaduan berjaya membuktikan bahawa kekuatan Umno di Johor masih menebal hingga menyukarkan PN menembusi negeri itu.

Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan tiga sebab gelombang hijau gagal menambat hati pengundi dalam kedua-dua PRK tersebut:

1) PN terlalu 'overconfident'

pn

PAS yang diketuai Muhyiddin menyuarakan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap PN semakin tinggi terutamanya selepas PRN.

Gabungan parti yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dikatakan terlalu yakin bahawa mereka dapat menakluki kedua-dua kerusi tersebut.

PAS juga sebelum ini menyuarakan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap PN semakin tinggi terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan berkata, badai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang terhenti di Melaka dijangka kembali bertiup ke arah Muar melalui Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

Abdullah berkata, dengan senario politik melanda negara ketika ini, beliau yakin PN terutama PAS akan menambah satu lagi kerusi iaitu Simpang Jeram.

Selain itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga yakin mereka mampu membolot undi pengundi muda dan orang Melayu

Ia susulan pelbagai isu rakyat yang gagal diselesaikan Kerajaan Perpaduan seperti kekurangan bekalan beras tempatan, kos sara hidup tinggi dan harga barang naik, sekali gus menyebabkan golongan itu menolak kecelaruan yang berlaku.

2) Pulai dan Simpang Jeram masih kubu kuat PH-BN

WhatsApp Image 2023-09-09 at 22.31.40

Suhaizan (kiri) dan Nazri (kanan) berjaya mengalahkan calon daripada PN dan calon bebas dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu.

Sentimen akar umbi Umno di Johor yang kuat menjadi antara faktor kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram pada kali ini.

Memandangkan BN kini sudah bersaudara dengan PH, maka kemenangan gabungan parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menggambarkan Kerajaan Perpaduan diterima baik di negeri ini.

Malah, Suhaizan dilaporkan berkata, kemenangan tersebut juga adalah hasil kerjasama erat antara jentera PH dan BN.

Ujarnya, keputusan itu sekali gus menghapuskan stigma bahawa kerjasama kedua-dua gabungan tidak diterima oleh pengundi di kawasan tersebut, khususnya pengundi Melayu.

Dalam masa sama, tidak dinafikan PN berdepan laluan berliku bagi merampas kerusi Parlimen Pulai ekoran kerusi tersebut berada di kawasan bandar, apatah lagi dengan trend pengundi bandar yang konsisten kekal menyokong PH.

Majoriti besar 33,174 diperoleh Allahyarham Salahuddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agak sukar digugat PN.

Ditambah faktor komposisi pengundi agak seimbang di Pulai dengan pengundi Melayu 44 peratus, pengundi Cina 40 peratus, pengundi India mewakili 12.3 peratus manakala lain-lain adalah 3.05 peratus.

3) Sentimen Allahyarham Salahuddin masih menebal

Pulai dan Simpang Jeram masih kubu kuat PH-BN

Sentimen Allahyarham Salahuddin masih menebal dalam kalangan penduduk Pulai dan Simpang Jeram.

Pada PRU15 November tahun lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.

Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon PN, Loh Kah Yong, mendapat 20,677 undi.

Selain itu, Salahuddin turut mempertahankan Dun Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor tahun lalu, apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi), calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.

Beliau dikenali sebagai sosok pemimpin yang komited menggalas tanggungjawab sebagai menteri serta wakil rakyat yang amat disenangi rakyat, pastinya sukar untuk dicari ganti.

Selain itu, ketika Allahyarham menyandang jawatan itu, Suhaizan yang juga Ketua Amanah Pulai menggalas amanah sebagai Setiausaha Politik dan menyusun segala aktiviti turun padang beliau.

Suhaizan turut setia menemaninya dalam setiap aktiviti yang dijalankan selain menjadi wakil Salahuddin di kawasan apabila menerima pelbagai aduan masyarakat.

Pastinya, kemenangan Suhaizan yang juga dianggap sebagai 'orang kepercayaan' Salahuddin mempunyai peluang cerah untuk menyambung legasi itu.

Untuk rekod, ini juga merupakan percubaan kali ketujuh Suhaizan dalam pilihan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram