[VIDEO] Jakim sahkan nasi ayam claypot viral tiada sijil halal, premis ditutup sementara


  • Primer
  • Ahad, 10 Sep 2023

Tangkap layar video tular memaparkan penyediaan makanan di premis nasi ayam claypot yang terletak di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan bahawa premis nasi ayam claypot di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang tular sejak Sabtu ekoran status halalnya yang diragui bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Dalam satu kenyataan, jabatan itu juga memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis terbabit.

"Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang menggunakan 'rice wine' dalam masakan yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.

"Berdasarkan kepada semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut," ujar kenyataan tersebut di Facebook pada Sabtu.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan kepada pengguna umat Islam di seluruh negara suoaya sentiasa berhati-hati ketika memilih premis makanan yang ingin dikunjungi.

Untuk mengenahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM, orang ramai diminta supaya membuat semakan di Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4 atau melalui aplikasi telefon pintar, Verify Halal.

Pada Sabtu, tular satu video memaparkan penyediaan makanan di sebuah kedai nasi ayam claypot yang diusahakan pasangan dipercayai suami isteri beragama Islam dan turut fasih berbahasa mandarin.

Dalam klip berkenaan, penyedia makanan itu didakwa menggunakan alkohol jenis rice wine ke dalam hidangannya.

Difahamkan, premis berkenaan ketika ini sudah ditutup buat sementara waktu susulan penularan video terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram