[VIDEO] Bertikam lidah dalam kereta api kerana logo halal teh


  • Benua
  • Isnin, 24 Jul 2023

Tangkap layar seorang pekerja kereta api sedang menerangkan isi kandungan yang terdapat dalam bungkusan teh pada penumpang. — Agensi

TINDAKAN seorang lelaki mempertikaikan perakuan sijil halal dalam satu bungkusan teh menjadi bualan warga maya baru-baru ini.

Memetik laporan media antarabangsa India.Times.Com, insiden itu berlaku di dalam salah sebuah kereta api milik Indian Railways.

Difahamkan, ketika kejadian, penumpang tersebut mempersoalkan logo halal dalam bungkusan teh tersebut ketika sambutan 'bulan Sawan' yang disambut oleh penganut Buddha.

Dalam video tersebut, kedengaran suara penumpang bertanya beberapa soalan mengenai keperluan teh halal tersebut disajikan ketika bulan tersebut memandangkan mereka boleh mengambil makanan yang berunsurkan vegetarian sahaja.

Namun, salah seorang pekerja kereta api berkenaan dengan tenangnya menjelaskan bahawa teh itu adalah vegetarian.

Penumpang yang tidak memahami sepenuhnya konsep persijilan halal, meminta penjelasan kenapa dia diberikan teh tersebut.

Video itu mendapat perhatian di media sosial dan terdapat beberapa pengguna berkongsi pendapat yang berbeza tentang kejadian tersebut.

Ada yang memuji kesabaran pegawai kereta api dalam menangani situasi itu, manakala yang lain mengecam penumpang itu kerana sikapnya.

Sementara itu, Indian Railway Catering and Tourism Corporation (IRCTC) mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa pracampuran teh yang dipersoalkan mempunyai persijilan FSSAI mandatori dan 100 peratus vegetarian.

Jelas mereka lagi, persijilan halal diperlukan berikutan eksport produk itu ke negara yang mempunyai mandat sedemikian.

Syarikat pracampuran teh, Chaizup, turut menekankan bahawa produk mereka adalah 100 peratus vegetarian dan diperbuat daripada bahan semula jadi berasaskan tumbuhan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram