Pecutan terakhir Suhaizan menjelang PRK Pulai pada Sabtu


  • Politik
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Calon PH Suhaizan Kaiat yang berkempen bagi PRK Parlimen Pulai.

KURANG 15 jam tempoh berkempen bagi Pilihan Rakyat Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang akan tamat pada pukul 11.59 malam, calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat terus giat melakukan 'sentuhan akhir' bagi meraih sokongan pengundi di Pulai, Johor Bahru pada Jumaat.

Dalam tempoh akhir sebelum ‘menyerahkan nasibnya’ kepada rakyat Pulai, aktiviti kempen beliau ditumpukan ke kawasan kubu kuat PH-Barisan Nasional bagi menyantuni rakyat di kawasan tersebut

Katanya setakat Khamis malam, hampir keseluruhan pusat daerah mengundi (PDM) sudah disantuni dan pada hari terakhir, kempen beliau dan jentera akan menziarah ke kawasan-kawasan panas.

"Alhamdulillah, kita lihat respons pengundi amat baik dan harap momentum ini dapat diterjemah menerusi undi dan keputusan hari mengundi pada Sabtu dan kita akan terus merayu sokongan daripada rakyat.

"Malam ini (Jumaat), kita akan adakan ceramah 'grand finale' yang akan dihadiri pemimpin PH-BN dan kita harap sentuhan akhir ini dapat menarik undi rakyat,” katanya ketika program bersama anak muda, di Kampung Pasir Tampoi, Khamis.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK bagi kedua-dua pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram