SERAMAI 927 pemilih terdiri daripada pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di Johor Bahru, Johor pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdapat tiga saluran di dua pusat pengundian awal iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, yang akan dibuka pada pukul 8 pagi.
Beliau berkata, tiada alasan bagi mana-mana pegawai atau anggota untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, justeru, semua warga PDRM yang terlibat perlu melaksanakan hak sebagai pengundi dalam proses demokrasi ini.
"Seramai 927 pegawai dan anggota akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi Selasa ini.
"Kesemua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pengundian awal ini disarankan agar melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan.
PRK tersebut diadakan disebabkan kekosongan luar jangka selepas kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada 23 Julai lepas.
Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram