Kemudahan MRO baharu di Lapangan Terbang Subang mula beroperasi tahun depan


  • Bizz
  • Khamis, 07 Sep 2023

Kemudahan MRO baharu yang akan beroperasi seawal suku pertama tahun depan di Lapangan Terbang Subang.

LAPANGAN Terbang Subang bakal memilik kemudahan baharu yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang dijangka dibuka pada tahun depan.

Kemudahan tersebut disediakan oleh ExecuJet MRO Services Malaysia, sebuah anak syarikat pengeluaran pesawat dari Perancis, Dassault Aviation yang melibatkan keluasan hampir 150,000 persegi di lapangan terbang tersebut.

Naib Presiden ExecuJet MRO Services Rantau Asia, Ivan Lim berkata, ExecuJet kini dalam perancangan mempromosikan kemudahan MRO baharunya yang dibina khas di Lapangan Terbang Subang yang bakal dibuka pada separuh pertama tahun 2024.

Ivan berkata, kemudahan MRO yang masih dalam pembinaan itu berukuran 149,500 kaki persegi, ruang yang cukup untuk serentak memuatkan 10 hingga 15 jet perniagaan pelbagai saiz.

“Dalam fasa pertama, kami menyiapkan struktur keluli hangar, bumbung dan lantai papak konkrit bertetulang yang membawa tanda peristiwa penting.

“Kerja-kerja lain di hangar dan bangunan tambahan sedang berjalan dengan baik mengikut garis masa yang kami tetapkan.

“Kami dalam fasa kedua pembinaan yang melibatkan kerja-kerja kemasan luaran dan dalaman,” katanya pada Pameran Penerbangan Subang (SAS) 2023.

ExecuJet antara yang peserta yang terlibat dalam SAS 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis sehingga Sabtu.

SAS 2023 membuka tirai pada Khamis.

Dalam pada itu, Ivan berkata, pertumbuhan industri penerbangan perniagaan di Asia amat penting ditonjolkan dan mempunyai pasaran yang luas.

“Pertumbuhan industri penerbangan bergiat aktif dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi membolehkan keupayaan MRO kami berkembang secara berterusan,” katanya.

Sejak Dassault Aviation memperoleh rangkaian ExecuJet MRO Services pada awal tahun 2019, kemudahan ExecuJet di Malaysia telah terus mengembangkan perkhidmatan MRO untuk memasang rangkaian dan penyelenggaraan berat pada semua model pesawat Dassault Falcon.

Pada Mac lalu, bekas Exco Pelaburan Datuk Teng Chang Khim menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion dapat dicapai menerusi penganjuran acara tahunan tersebut.

Acara tahun lalu yang berlangsung pada 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi RM1.174 bilion, manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan nilai transaksi sebanyak RM100 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram