DUA lelaki terlepas daripada hukuman gantung selepas pertuduhan mengedar dadah dihadapi mereka dipinda kepada memiliki dadah pada Khamis.
Chow Kum Yuen, 37, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan manakala S. Inthiran, 31, dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan selepas mereka mengaku bersalah di hadapan panel tiga hakim di Mahkamah Persekutuan terhadap pertuduhan memiliki dadah.
Kes kedua-dua lelaki itu didengar secara berasingan oleh panel yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka bagi kesalahan mengedar dadah dan menggantikannya dengan pertuduhan memiliki dadah.
Ini selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Chow dan peguam Inthiran Datuk Baljit Singh mewakili Inthiran, masing-masing memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi mereka supaya pertuduhan mengedar dadah digantikan kepada pemilikan yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Amril Johari yang hadir bagi pihak pendakwaan dalam kes Chow serta DPP Parvin Hameedah Natchiar mewakili pendakwaan bagi kes Inthiran.
Chow, seorang mekanik, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan memiliki 163.6 gram nimetazepam, 1,819.61 gram ekstasi, 163.71 gram Methamphetamine dan 482.96 gram ketamin di sebuah rumah di Jalan Desa Mesra, Jalan Kelang, Taman Desa, di Kuala Lumpur, pada 18 April 2017.
Pada 22 Nov 2019, Mahkamah Tinggi mendapati Chow bersalah atas empat pertuduhan mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman mati. Mahkamah juga mendapati dia bersalah atas pertuduhan memiliki 51.80 gram ganja dan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan.
Chow hanya merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah tetapi rayuannya ditolak pada 9 Mac tahun lepas.
Tengku Maimun menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Chow atas pertuduhan memiliki nimetazepam dan ketamin serta penjara 18 tahun dan 10 sebatan setiap seorang bagi dua pertuduhan lain pada Khamis.
Beliau memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai 18 April 2017, tarikh Chow ditangkap.
Chow akan menerima 24 sebatan dan bukannya 30 sebatan kerana Seksyen 288 (5) Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa seseorang yang disabitkan dengan dua atau lebih kesalahan yang berbeza, hukuman sebat yang digabungkan oleh mahkamah untuk kesalahan tersebut tidak boleh melebihi 24 sebatan.
Sementara itu, Inthiran, pemandu lori, mengaku bersalah memiliki 55.6 gram heroin dan ‘monoacetylmorphines’ di hadapan sebuah pasar mini di Jalan Desa Jaya 1, Taman Jana Jaya 11, Kamunting, Perak pada 29 Mac 2017.
Dia pada mulanya didapati bersalah mengedar dadah itu dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 6 April 2018. Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 10 Mac tahun lepas.
Tengku Maimun memerintahkan Inthiran menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mac 2017 dan turut memerintahkan 10 sebatan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram