Penerokaan sejarah Kedah Tua diperhebat dengan bantuan sejarawan China


  • Primer
  • Selasa, 05 Sep 2023

Pengunjung melihat lebih dekat tinggalan struktur yang berada Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Merbok, Kedah.

MALAYSIA akan bekerjasama dengan pakar sejarah dari China untuk mengumpul dan mendapatkan lebih banyak bahan sejarah mengenai Kedah Tua secara khususnya dan negara secara amnya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sejarah mengenai Melayu lama telah dicatatkan dengan banyak oleh seorang tokoh China Bujannga Yi-Jing, yang pernah menjejakkan kakinya di Lembah Bujang pada abad ke-7.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kepada banyak bahan sejarah Tanah Melayu, yang perlu dikaji dan dipelajari daripada sumber di China.

"Objektif kami ialah untuk mengesan rekod, menjalankan kajian dan menghasilkan semula bahan sejarah berkaitan dengan sejarah Malaysia, khususnya daripada perspektif sumber cendiakawan China.

"Bagi Kementerian Perpaduan Negara, kami komited untuk menyokong semua inisiatif berkaitan pengesanan dan penyelidikan bahan arkib tentang sejarah Malaysia di luar negara, termasuk di Republik Rakyat China,” katanya semasa pertemuan dengan ahli sejarah China di Pusat Kebudayaan China di Bejing, China pada Isnin.

Interview Unity Minister  Datuk Aaron Ago Dagang. —AZLINA ABDULLAH/The Star

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron berkata, kerjasama itu akan turut melibatkan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan juga Muzium Negara.

Sementara itu, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San berkata, beberapa fakta sejarah yang tidak lengkap, boleh diselesaikan menerusi pertukaran dan bantuan pakar.

"Dalam buku teks mata pelajaran sejarah sekolah kita, ada mengenai lawatan Yi-Jing ke Kedah, namun disebabkan kekurangan sumber, ia hanya dicatatkan menerusi beberapa ayat sahaja (dalam buku teks).

"Bahan sejarah yang dicatatkan Yi-Jing pada lawatan keduanya ke Kedah Tua masih belum dikumpulkan dan dikeluarkan. Ini satu tugas besar dan memerlukan perhatian dan sokongan kerajaan,” katanya.

Goh berkata, usaha sama antara pakar sejarah dari China dan organisasi dari Malaysia itu, akan mencipta sejarah kerana ia membentuk nilai teras asas untuk perpaduan semua kumpulan etnik.

Beliau juga mencadangkan pihak yang berkaitan untuk menganjurkan seminar pertukaran bahan dan menterjemah bahan sejarah ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bagi mempromosikannya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram