592 pendaki sahut cabaran daki Gunung Tebu


  • Primer
  • Isnin, 04 Sep 2023

Hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM19,300 menanti pemenang dengan rekod terpantas. — Foto Ticket2u

SERAMAI 592 pendaki akan berentap dalam acara Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC'23) di Taman Eko Rimba Lata Belatan di Besut pada 9 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata MTCC'23 berkonsepkan larian denai itu dianjurkan buat kali kedua oleh Kelab Kembara Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Beliau berkata, sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita (Cengal); Tertutup Terengganu Lelaki dan Wanita (Meranti) dan Fun Run (Nyatuh) sejauh lima kilometer untuk mereka yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana santai.

"Peserta bagi kategori Cengal dan Meranti akan menempuhi laluan sejauh 18.5 kilometer. Hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM19,300 menanti pemenang dengan rekod terpantas.

"Rekod terpantas tahun lepas ialah 1 jam 43 minit 47 saat yang dilakar pendaki dari Kenya untuk jarak laluan sama tahun ini," katanya pada sidang media MTCC'23 di Wisma Darul Iman di Terengganu pada Isnin.

Datuk Razali Idris.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Fadli Yusof.

Razali berkata, penganjuran MTCC'23 diharap dapat mempopularkan lagi Gunung Tebu sebagai lokasi pendakian utama di Malaysia, seterusnya merancakkan industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.

Selain itu, beliau berkata peranan sebanyak 120 Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang telah dilatih oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu juga dapat digerakkan bagi membantu pelancong atau pendaki.

"Orang ramai yang ingin mendaki Gunung Tebu berketinggian 1,039 meter perlu mendapatkan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal daripada Pejabat Perhutanan terlebih dahulu.

"Permohonan perlulah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh pendakian," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram