PM Anwar beri sumbangan bantu anak P Ramlee terlibat kemalangan


  • Primer
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Ahmad Farhan (tengah) ketika berkunjung ke rumah Sazali (kiri) di Kuala Lumpur bagi menyampaikan bantuan pada jumaat. — Facebook/AnwarIbrahim

TERKESAN dengan penderitaan dihadapi anak kepada seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban dihadapinya.

Sazali sebelum ini dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan sehingga dikategorikan sebagai orang Kurang Upaya (OKU).

Menerusi perkongsian dibuat di Facebooknya, Anwar berkata, penyerahan sumbangan itu dibuat menerusi Setiausahanya, Ahmad Farhan Fauzi pada petang Jumaat.

“Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung saudara Sazali yang merupakan anak kepada seniman agung negara, Almarhum P Ramlee.

“Malang buat beliau tatkala terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori OKU dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.

"Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher,” katanya yang turut berharap agar sumbangan berkenaan dapat meringankan beban ditanggung Sazali dan isterinya.

Sazali, 62, kini berada dalam keadaan kurang sihat selepas ditimpa kemalangan pada Disember tahun 2021, menurut laporan akhbar tempatan.

Menurut laporan portal Harapan Madani, beliau yang kini dikategorikan sebagai OKU tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya terhadap bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang jumlah keseluruhannya bernilai RM750.

“Kalau ikutkan, ia tidaklah mencukupi,” ujar Sazali ketika ditemui.

“Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah bayaran elektrik dan air, apa yang diharapkan semoga dapatlah jumlah bantuan itu dinaikkan pihak terbabit,” katanya.

Sazali dan isterinya Hamidah Hitam, 58 mempunyai tiga orang cahaya mata hasil daripada lebih tiga usia perkahwinannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram