KERAJAAN akan melaksanakan inisiatif 'single window' untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia menyasar untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau, kata Perdana Menteri.
"Sehubungan itu, Majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023.
Anwar berkata, inisiatif itu menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.
Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran, katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Majlis tersebut turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.
IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.
Beliau berkata, IDN, apabila siap kelak, akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan bagi memastikan transaksi dalam talian berada dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat.
"Kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.
"Pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata Anwar.
MED4IRN dianggotai barisan menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri dari wakil sektor swasta, industri, ahli akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.
Majlis itu berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram