Kartun Malaysia jadi asas anak fasih bahasa Melayu walaupun membesar di Paris


Dari kiri: Adam, Ann, Jade dan Ida ketika bercuti bersama keluarga. — Instagram/light.km

MEMPUNYAI empat orang anak berdarah campuran Perancis dan membesar di negara tersebut bukanlah penghalang buat Nurazimah Mohd Karim, 47, daripada menerapkan budaya, agama dan bahasa Melayu kepada cahaya matanya.

Malah, kepetahan salah seorang anaknya yang fasih bercakap bahasa Melayu dengan dialek Negeri Sembilan juga pernah tular suatu ketika dahulu di Malaysia.

Ketika dihubungi Majoriti, Nurazimah yang ketika ini sudah lebih dua dekad bermastautin di Perancis berkata, dia sememangnya sentiasa diingatkan oleh ayahnya mengenai kepentingan untuk membesarkan anak-anaknya dengan cara orang Melayu.

Katanya, ia termasuk dalam penerapan amalan agama Islam dan juga kefasihan dalam bahasa Melayu.

Nurazimah yang mendirikan rumah tangga bersama lelaki Perancis, Nicolas Moulin, 52, sejak 2001 itu dikurniakan empat orang anak iaitu Adam Daniel Moulin, 21; Ida Aili Moulin, 17; Jade Nur Moulin, 12 dan Anna Syifa, 5.

Menurutnya, kesemua cahaya matanya itu boleh bercakap dalam tiga bahasa iaitu Perancis, Melayu dan Inggeris dengan bahasa Melayu menjadi bahasa perantara utama apabila dia berkomunikasi dengan anaknya di rumah.

"Sebab budak-budak ini kalau mengadu pasal bapa diorang pun mesti diorang cakap bahasa melayu," katanya secara berseloroh.

Ditanya mengenai cabaran membesarkan anak tiga bahasa, Nurazimah berkata, ia tidaklah begitu sukar memandangkan perkara itu sudah pun diterapkan sejak mereka kecil.

"Budak-budak ini dia macam span. Contohnya anak saya yang Jade, sampai umur dia dua tahun saya bagi dia tengok cerita Upin dan Ipin sampai dia sangat fasih cakap melayu.

"Kemudian bila dah dah dua tahun itu cakap dalam bahasa Inggeris pula. Kalau bahasa Perancis itu memang daripada awal usia lagi," ujarnya yang tinggal bersama keluarganya di kawasan pinggir bandar yang terletak hanya 30 kilometer (km) dari kota Paris.

Pada masa sama, Nurazimah berkata, dalam peringkat awal proses tersebut, dia juga kadang kala perlu mengambil pendekatan lebih tegas untuk menerapkan penggunaan bahasa Melayu dalam diri anak-anaknya.

WhatsApp Image 2023-08-30 at 5.56.52 PM

Nurazimah bersama keluarganya ketika menyambut Aidilfitri pada tahun ini. — Instagram/light.km

Katanya, ini kerana sebagai kanak-kanak, kesemua anaknya juga melalui fasa apabila mereka mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling termasuk di sekolah.

"Kadang-kadang budak-budak ini memanglah apabila dia di negara yang tidak ada orang cakap Melayu, jadi ada masa diorang tak nak cakap bahasa Melayu.

"Jadi cara yang saya akan guna adalah, saya akan bagitahu mereka kalau mereka tak nak cakap Melayu, mama tak layan. Memang kena macam tu, sebab ada banyak kes kenalan saya yang dia kahwin campur, anak-anak dia dia faham bahasa Melayu, tapi tak boleh cakap.

"Sebabnya, ibu bapa tak pernah tekankan untuk cakap balik. Jadi akak buat macam tu. Daripada situ diorang terpaksa cakap Melayulah sebelum perkara itu dah jadi kebiasaan," ujarnya.

Nurazimah berkata, selain daripada mampu meningkatkan jati diri anak-anaknya, penggunaan bahasa Melayu itu juga membolehkan mereka tidak kekok dan malu untuk bergaul bersama saudara-mara apabila setiap kali pulang ke Malaysia.

Mengulas mengenai insiden Islamofobia dan yang dilihat kerap berlaku di negara tersebut, dia Kuala Lumpur itu berkata, anaknya tidak berhadapan dengan isu rasisme kerana sekolah yang dihadiri itu majoritinya merupakan penganut agama Islam.

"Cuma sistem sini memang mula agak tidak mesra kepada orang Islam. Tudung memang tak boleh pakai. Sekarang ini ni pakai abaya pun tak boleh sedangkan itu pakaian budaya Arab bukan agama.

"Kesian pada anak-anak yang bertudung. Masuk pagar sekolah sahaja kena cabut tudung. Tapi untuk peringkat universiti dibenarkan (pakai tudung)," katanya.

Bercerita mengenai aktiviti yang akan dilakukan setiap kali menjelang 31 Ogos, Nurazimah berkata, dia dan keluarga lazimnya akan membuat ucapan kemerdekaan buat seluruh rakyat Malaysia.

Snapinsta.app_340042001_589586733113996_3968244585542809059_n_1080

Nurazimah (kiri) bergambar bersama Anna (tengah) dan suaminya. — Instagram/light.km

Katanya, dia juga akan meluangkan masa berkongsi cerita dengan anak-anaknya mengenai suasana sambutan hari Kemerdekaan di Malaysia.

"Kami akan bercerita contohnya biasa kalau malam-malam orang ramai mesti keluar. Lepas itu ada bunga api. Jadi akan bagitahu pasal benda-benda macam ni.

"Mereka pun biasa tanya kenapa mereka tak pernah sambut sekali balik Malaysia untuk sambut. Sebabnya kebiasaan waktu tarikh tu dah masuk tempoh nak naik sekolah.

"Sebab cuti musim panas di sini bulan Ogos, kami biasa balik Julai, kemudian seminggu sebelum habis Ogos kami dah pulang semula ke Perancis," katanya yang turut memaklumkan antara makanan Malaysia kegemaran anak-anaknya ialah nasi ayam dan satay.

Dalam pada itu, Nurazimah mengakui beliau sudah pun mempunyai perancangan untuk pulang dan menetap di Malaysia selepas kesemua anaknya sudah memasuki universiti.

Katanya, perancangan tersebut juga sudah mendapat persetujuan daripada anak-anak dan suaminya.

Pada waktu ini, Nurazimah berkata, dia menjalankan perniagaan yang menyediakan perkhidmatan pelancongan bagi pelancong bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga Brunei, Singapura dan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram