[VIDEO] Pengasuh hempas, kasari budak atas tilam di Johor terima kecaman ramai


  • Tular
  • Rabu, 30 Ogos 2023

Tangkap layar dua pengasuh wanita didakwa mengasari seorang kanak-kanak di sebuah taska di Johor.

TULAR video dua wanita melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Johor Bahru, Johor pada baru-baru ini.

Rakaman video kejadian tersebut dikongsikan seorang individu kepada laman Facebook mynewshub pada Rabu.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan individu berkenaan, dia mendakwa kedua-dua wanita yang dipercayai bekerja sebagai pengasuh di taska tersebut bertindak kasar dengan kanak-kanak yang berada di premis berkenaan.

Dalam video berdurasi 44 saat tersebut, jelas kelihatan kedua-dua wanita tersebut bertindak kasar dengan menarik tangan dan kaki serta menolak beberapa budak di dalam sebuah bilik.

Lebih menyakitkan hati salah seorang daripada mereka dilihat seakan-akan menghempas seorang kanak-kanak ke atas tilam taska yang disediakan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan kedua-diua pengasuh tersebut.

"Kesiannya budak itu tengah sedap tidur terpinga-pinga dia kat lantai," kata @zxtyxoxo.

"Kasarnya buat kanak-kanak seperti itu, kalau anak aku sudah lama aku buat benda yang sama, bagi dia rasa maccam mana kena hempas atas katil seperti itu," kata @ItsJustJustin.

Seorang pengguna media sosial @Ai_biru turut mempersoalkan tindakan kedua-dua wanita tersebut.

"Sumpah tak faham, kau (pengasuh) tak suka kanak-kanak tetapi kenapa kerja taska yang berkaitan dengan budak?

"Kau anggap budak kecil menyusahkan? leceh? Kenapa jaga? Banyak lagi bidang yang kau boleh kerja,"tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, tiada ada maklumat lanjut yang diperolehi mengenai taska berkenaan.

Pada masa sama, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa ataupun ibu bapa kanak-kanak dalam video tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram