Misteri kehilangan Kevin Lokuman selama seminggu terungkai, mayat ditemui di hutan berbukit


  • 112
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui kira-kira 3km dari kawasan Kampung Bambangan Tudon, Penampang. — Bomba

MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak seminggu yang lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan di kawasan hutan berbukit di Kampung Bambangan Tudon, Penampang, Sabah pada Isnin.

Mayat Kevin Lokuman, 32, ditemukan penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampung berkenaan pada pukul 10.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 12.50 tengah hari Isnin.

"Pasukan bomba seterusnya ke lokasi mangsa yang ditemui oleh penduduk kampung.

"Anggota yang ditugaskan untuk menyelamatkan mayat mangsa mengambil masa yang lama disebabkan laluan sukar di kawasan hutan berbukit sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis pada pukul 6.14 petang," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Terdahulu, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 24 Ogos lalu.

Difahamkan, mangsa keluar daripada rumah tanpa memberitahu ahli keluarganya yang lain pada pukul 5 pagi Selasa.

Operasi mencari dan menyelamat bersepadu (SAR) kemudiannya dilakukan melibatkan pelbagai agensi dan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram