Selepas 'belon gergasi' muncul di AS, China guna satelit pantau pencemaran tembak laser ke Hawaii


  • Benua
  • Selasa, 14 Mac 2023

Cahaya laser hijau dipercayai dari satelit Daqi-1 dirakam pada kamera penstriman langsung di Hawaii. — Agensi

AMERIKA Syarikat (AS) mendakwa China menggunakan sejenis laser hijau yang dipancarkan daripada sebuah satelit bagi mengumpul maklumat risikan di Hawaii.

Memetik laporan media antarabangsa, The Sun, amaran tersebut dikeluarkan oleh para pakar yang mengatakan laser hijau itu digunakan untuk melancarkan peluru berpandu hipersonik ke atas Hawaii di Amerika.

Pada awalnya, cahaya itu disangka dipancarkan oleh satelit Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), namun akhirnya disahkan berasal daripada satelit pemantauan pencemaran milik China, Daqi-1.

Namun begitu, muncul persoalan mengapa Beijing berhasrat untuk memantau pencemaran di Hawaii yang mempunyai pangkalan besar tentera AS.

Tambahan pula ia berlaku selepas China menerbangkan belon gergasi yang dipercayai alat yang digunakan untuk mengintip AS.

Walaupun China menyangkal dakwaan berkenaan namun ia masih menimbulkan ketegangan di antara dua negara tersebut.

Pearl Harbour yang terletak di Oahu, Hawaii kekal menjadi lokasi penting untuk tentera AS dan kewujudan satelit itu sekali gus menjadikan situasi semakin tegang di antara China dan AS.

Hal ini kerana Pearl Harbour menempatkan Armada Pasifik AS dan Armada Pasifik Tentera Udara.

Serangan tentera Jepun ke atas pangkalan tersebut pada 7 Disember 1941 menjadi pencetus kepada AS untuk menyertai Perang Dunia Kedua.

Kini, pakar-pakar memberi amaran bahawa aktiviti Beijing itu boleh membuka jalan kepada serangan mengejut seperti yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua.

Pakar ketenteraan China daripada Pusat Penilaian dan Strategi Antarabangsa, Rick Fisher berkata, satelit tersebut adalah kes klasik bagi penggunakan dwifungsi teknologi awam China yang turut mempunyai misi ketenteraan.

“Laser Daqi-1 secara khusus memantau ketumpatan atmosfera dan boleh mengesan arah angin yang berbeza.

“Ini merupakan data yang diperlukan oleh Beijing untuk menyasarkan dengan tepat peluru berpandu balistik atau peluru berpandu hipersonik terkini,” katanya.

Fisher selain itu bersetuju bahawa Hawaii berisiko berdepan serangan mengejut dengan kali ini, oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

“Memang terdapat ancaman yang semakin meningkat dari China ke atas Hawaii tetapi sekiranya perang Taiwan berlaku, PLA mungkin akan menyasarkan fasiliti tentera AS di Jepun, Korea Selatan, Alaska dan California,” ujarnya.

Tambah Fisher lagi, satelit cuaca China yang menggunakan laser hijau boleh membantu penyasaran tepat kepala peledak Hypersonic Glide Vehicle yang akan dibawa oleh peluru berpandu balistik pelancaran udara yang dilancarkan oleh pengebom Xian H-6N.

"China membina senjata besar peluru berpandu hipersonik yang bertujuan untuk meneutralkan kuasa Tentera Laut AS yang digelar 'carrier killers' dan mampu menyerang kemudahan Amerika di Pasifik," katanya.

Sebelum ini, rakaman laser hijau itu berjaya dirakam oleh National Astronomical Observatory milik Jepun pada akhir Januari lalu.

Sementara itu, bekas ketua kakitangan Angkatan Laut Pasifik Ray L’Heureux mengeluarkan kenyataan berasa sangsi dengan tindakan China.

"Saya tidak pasti mengapa China bertindak sedemikian dan ini adalah pendapat saya, mengapa orang Cina, yang mungkin antara pencemar paling prolifik di planet ini, akan mengumpul data mengenai bahan pencemar di bahagian Pasifik ini," katanya.

Ketegangan memuncak antara Washington dan Beijing berhubung isu Taiwan, yang China percaya sebagai wilayah dan bukannya sebuah negara yang berdaulat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram