KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandung dan rakannya di Layangkasa, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat lalu kini sudah semakin pulih.
Perkembangan kesihatan mangsa yang juga dipanggil Eiman itu dikongsikan bapa kandungnya menerusi satu hantaran di TikToknya yang menggunakan nama, amirulhaizad55.
"Alhamdulillah adik Eiman dah makin sihat, cuma kena selalu pantau luka dia. Saya mohon doakan kami dipermudahkan urusan bawa balik dia ke Kedah.
"Terima kasih yang mana mendoakan adik Eiman dan terima kasih juga kepada jiran-jiran yang prihatin," tulisnya dalam perkongsian tersebut pada Selasa.
Menerusi video terbabit, Eiman dilihat ceria dan boleh tersenyum ketika diambil gambarnya.
Pada masa sama, kanak-kanak itu yang sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor itu juga kelihatan riang menonton daripada telefon pintarnya meskipun dalam keadaan meniarap dipercayai akibat luka dialami di bahagian belakang badan akibat didera.
Dalam pada itu, bapa kandung Eiman, yang dikenali sebagai Amirul Haizad menafikan dirinya tidak mengambil berat berhubung keadaan anaknya itu.
Menurutnya, ini kerana anak lelakinya itu dibawa lari oleh bekas isterinya itu sejak September tahun lalu dengan usaha untuk menjejakinya menemui jalan buntu.
“Alhamdulillah, jumpa balik harta dunia akhirat aku. Anak yang tak pernah aku naik tangan kat depa (mereka). Selama ni aku diam ja.
“Bukan baru muncul. Anak yang saya cari selama setahun lebih, bekas isteri saya bawa lari depa (mereka) daripada saya. Dah block (sekat) saya, dia bawa lari 5 September 2022,” ujarnya di ruangan komen pada satu hantaran berasingan.
Difahamkan, Eiman yang baru setahun duduk bersama ibu kandungnya di Pasir Gudang, Johor itu akan kembali tinggal bersama datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah.
Polis pada Ahad memaklumkan pihaknya menahan reman ibu kandung Eiman berusia 27 tahun selama enam hari dan seorang rakannya selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram