Naikkan harga gula tahun ini, MSM tunggu kelulusan kerajaan


  • Bizz
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Syed Feizal berkata, bertentangan dengan tanggapan orang ramai, gula bukan lagi makanan bersubsidi yang disediakan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

PENGELUAR gula negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) bakal menjalankan libat urus bersama Kerajaan bagi membincangkan mengenai langkah menaikkan harga jualan gula standard dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, segmen perniagaan runcit syarikat secara amnya mengalami margin negatif sehingga mengakibatkan kerugian bersih.

“Terdapat kesan terkumpul akibat kenaikan harga empat kos input terutamanya gula mentah, yang membentuk kira-kira 80 peratus daripada kos kami.

“Kemudian, terdapat harga tenaga atau gas, yang membentuk kira-kira sembilan peratus daripada kos kami, diikuti kos pengangkutan yang meningkat dua kali ganda tahun lepas dan ringgit yang lemah.

"Inflasi (juga) memberi kesan teruk kepada kami,” katanya ketika taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Khamis.

Syed Feizal juga berkata, MSM bakal menyemak semula harga jualan gula standard tersebut.

“Kami juga terpaksa meminta pelanggan kami menerima harga baharu ini. Kami akan melihat premium (harga) baharu berkuat kuasa tahun ini, yang sekurang-kurangnya akan membolehkan kami menyerap peningkatan kos input,” ujarnya.

MSM group chief executive officer Syed Feizal Syed Mohammad

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad.

Syed Feizal menegaskan bahawa bertentangan dengan tanggapan orang ramai, gula bukan lagi makanan bersubsidi yang disediakan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat harga siling ditetapkan untuk harga jualan gula standard.

Produk gula premium MSM, dipanggil Gula Super, dijual berdasarkan harga apungan di dalam negara tetapi syarikat itu masih perlu berhubung dengan kerajaan dalam masa terdekat mengenai penetapan harga gula standard.

“Kami berharap dengan pengenalan Gula Super ia dapat membantu menangani beberapa perubahan struktur yang diperlukan dalam industri untuk kemampanan jangka panjang,” tambahnya.

Syed Feizal berkata, tempoh diperlukan syarikatnya kembali mencatatkan keuntungan bergantung kepada hasil perbincangan dengan kerajaan dan menambah bahawa MSM berhasrat untuk melaksanakan kenaikan terhadap harga jualan gula.

Menurut beliau, sebarang kenaikan harga gula juga akan membantu syarikat itu bersaing dengan lebih baik di peringkat antarabangsa kerana ia membantu dalam usaha mereka mengembangkan pasaran eksportnya

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan MSM, Aini Shahar berkata, peningkatan kos pengeluaran menyebabkan syarikatnya terpaksa menanggung kerugian hasil daripada jualan bahan tersebut.

"Jadi dengan jualan Gula Super, ini akan membantu kami menampung kos ditanggung dan apa sahaja margin yang kami hasilkan, untuk mengimbangi situasi tersebut,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram