Mangsa dera ibu kandung, tomboy balik Kedah, bakal duduk dengan datuk


  • Primer
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Onn Hafiz melawat adik Iman yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sendiri di HSI, Johor Bahru pada Isnin. — Facebook

BUDAK lelaki lelaki berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandung dan wanita berperwatakan ‘tomboy’ di Layangkasa, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat lalu akan dijaga datuknya apabila keluar dari hospital.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor pada Isnin.

“Luluh hati saya melihat keadaan adik Iman, kanak-kanak yang terlibat dalam kes penderaan baru-baru ini.

“Adik Iman dibawa ke HSI dan sedang menjalani rawatan. Saya dimaklumkan adik Iman akan dijaga oleh datuknya selepas discaj dari hospital nanti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.

Difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut baru setahun bersama ibunya di Pasir Gudang setelah berpindah daripada datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah selain difahamkan juga bahawa ibu dan bapa mangsa telah bercerai.

Pada Ahad, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, pihak polis menahan reman pasangan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

BACA LAGI : [VIDEO] Polis tahan wanita tomboy, ibu kandung disyaki dera kanak-kanak 7 tahun

Beliau dilaporkan dilaporkan berkata, ibu mangsa yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan ‘tomboy’ pula berusia 30 tahun direman selama tujuh hari.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menahan kedua-dua suspek pada pukul 12.30 tengah malam di kediaman mereka pada Jumaat lalu.

Onn Hafiz dalam pada itu turut menzahirkan terima kasih kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan kes tersebut ke talian kecemasan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail yang melawat adik Iman memaklumkan bahawa kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil.

Malah katanya lagi, adik Iman kelihatan ceria setelah bertemu dengan ahli keluarganya yang lain.

"Antara yang hadir ke hospital untuk menziarahi kanak-kanak tersebut dari Kedah termasuklah bapa, datuk dan bapa saudaranya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram