Waris budak kena dera di Pasir Gudang dikenal pasti, JKM belum muktamad hak penjaga


  • Primer
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Insiden dera melibatkan kanak-kanak tersebut tular di sosial media. — Facebook

PENJAGA bagi kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Johor Jumaat lepas belum dimuktamadkan walaupun waris sudah dikenal pasti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sebelum ini melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan latar belakang bagi mengenal pasti waris mana yang akan menjaga kanak-kanak berkenaan.

" ... tetapi belum muktamadlah sehingga bila dia keluar dari situ (hospital), barulah akan dimuktamadkan (waris mana yang akan menjaga mangsa) tetapi kerja-kerja persediaan itu sudah ada daripada JKM (Johor)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, pada Isnin.

Hadir sama Timbalannya Aiman Athirah Sabu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.

Nancy berkat, kanak-kanak berkenaan sedang menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultan Ismail ketika ini dan berada dalam keadaan stabil.

SERDANG, 3 Ogos -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sidang media pada program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, mangsa juga dikatakan mengalami trauma akibat penderaan itu, namun JKM akan melakukan kaunseling dan rawatan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan kanak-kanak berkenaan.

Sabtu lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang.

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata ibu kanak-kanak itu direman enam hari, manakala rakannya direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram