[VIDEO] Lupa tutup api lepas masak air gula, kedai makan rentung di Pontian


  • 112
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Separuh daripada kedai terbabit sudah hangus terbakar dengan api masih marak ketika bomba tiba.

AKIBAT terlupa untuk menutup api selepas memasak air gula di dapur, sebuah kedai makan di Jalan Parit Mesjid, dekat Pontian, Johor hangus terbakar pada awal pagi Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Mahadir Mamat berkata, kebakaran melibatkan bangunan kedai sementara itu berlaku kira-kira pukul 4.49 pagi

Menurut beliau, ketika pasukannya tiba di lokasi, api sedang marak dengan separuh daripada kedai terbabit sudah terbakar.

“Nasib baik dua-dua balai bomba berhampiran rumah kedai tersebut yang terletak bersebelahan kedai kereta dan sebuah rumah dua tingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahadir berkata, keadaan api yang merebak dengan pantas itu berpunca kerana struktur binaan kedai tersebut merupakan bangunan sementara dan separuh kekal.

Katanya, ketika kejadian juga, premis tersebut kosong kerana kesemua pekerja sudah pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu perniagaan kira-kira pukul 12 malam.

"Operasi memadamkan kebakaran sepenuhnya berakhir pada pukul 6.25 pagi," ujarnya.

Menurut Mahadir, punca kejadian sedang dalam siasatan dengan sepasukan anggota forensik kebakaran tampil menjalankan pemeriksaan lanjut pada pagi Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram