Bomba ambil masa 13 jam padam kebakaran di 6 kilang perabot di Sungai Buloh 


  • 112
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Media pada Ahad melaporkan mengenai kebakaran di enam kilang pembuatan peralatan perabot yang turut tular di sosial media. — Bomba

BOMBA mengambil masa kira-kira 13 jam bagi memadamkan kebakaran yang berlaku di enam kilang pembuatan tilam dekat Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, insiden kebakaran yang bermula sekitar pukul 4 petang Ahad itu berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 6.05 pagi Isnin.

"Sepasukan anggota bomba bersama 12 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Selayang, BBP Damansara, BBP Rawang, BBP Seksyen 7, BBP Puchong dan BBP TTDI dari Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian, dan tiba pada pukul 5 petang.

"Kebakaran yang tidak membabitkan mangsa itu berjaya dikawal 6.05 petang. Api berjaya dipadam sepenuhnya pukul 6.05 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Media pada Ahad melaporkan mengenai kebakaran di enam kilang pembuatan peralatan perabot terbabit yang turut tular di sosial media.

Wan Md Razali pada Ahad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.48 petang, Ahad dan tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram