
TINDAKAN sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang memasang aksesori lampu secara berlebihan pada kenderaan mereka sehingga mengganggu pemanduan pengguna jalan raya lain pada Isnin mengundang kecaman warganet.
Menerusi video berdurasi 42 saat yang dimuat naik di Facebook pada Selasa, kejadian itu difahamkan berlaku sekitar pukul 8 malam pada Isnin, namun lokasi sebenar kejadian tidak didedahkan dalam video tular itu.
Berdasarkan rakaman tular itu, ia memaparkan kejadian beberapa penunggang motosikal dilihat cuba untuk memotong sebuah kenderaan di atas lebuh raya.
Bagaimanapun difahamkan, akibat tidak berpuas hati dengan 'kemeriahan' lampu tersebut, individu yang merakam dilihat cuba menghalang kumpulan konvoi tersebut daripada memotong keretanya.
"Kepada abang-abang dan pakcik-pakcik yang pakai motor tong siap DRL (Daytime Running Lights), LED (lampu jenis diod pemancar cahaya), fog (lampu kabus) dan spotlight macam ini tak payahlah minta kereta bagi laluan macam lorong tu awak seorang yang punya.
"Aku memang tak dapat bagi (laluan) sebab silap-silap aku ke tepi, kau pula potong kiri. Dah lampu meriah macam kedai tomyam macam tu siap beri (isyarat) lampu tinggi banyak kali, macam mana aku nak tahu kalau kau bagi signal ke apa," katanya di Facebook pada Selasa.
Ujarnya lagi, penunggang motosikal berkenaan telah menyalahgunakan kemudahan lampu kabus hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
"Konvoi pun tak payahlah berkumpul ramai atas lebuh raya. Jalan satu-satulah senang sikit nak overtake.
"Nak berkumpul tunggu di check point. Lampu kabus dan spotlight ni patut guna untuk bagi orag nampak kewujudan awak saja. Tapi janganlah guna sampai menyusahkan orang lain. Nanti kerajaan haramkan guna lampu ni baru kalian menyesal," ujarnya.
Untuk rekod, penggunaan lampu kabus untuk lampu brek belakang secara berlebihan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana berisiko mengundang nahas jalan raya disebabkan tahap silau tinggi.
Penggunaan lampu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram