SEORANG wanita tempatan didakwa dikasari oleh seorang pelajar warga asing di sebuah lobi pangsapuri baru-baru ini.
Menerusi video tular yang dimuat naik di aplikasi Telegram pada Isnin itu memaparkan mangsa sedang duduk berbincang ditemani seorang lelaki bersama pelajar warga asing berkenaan.
"Warga asing buat hal di Malaysia, kasari wanita tempatan. Tolong jangan bagi muka," tulis kenyataan video berkenaan.
Keadaan menjadi semakin tegang selepas pelajar yang dipercayai dari Libya itu menghentak meja sebelum mengasari wanita berkenaan.
Sementara itu, hasil tinjauan Majoriti mendapati video tersebut diperolehi menerusi akaun TikTok milik mangsa, @aliyasanizbai.
Menurut mangsa, pelajar tersebut merupakan salah seorang penyewa pangsapuri yang dijadikan Airbnb.
Masalah timbul apabila warga asing tersebut membuat bising dan sering mabuk sehingga mengganggu kawasan kejiranan yang lain.
Menurut Aliya, susulan daripada itu, dia meminta agar pelajar asing berkenaan untuk mengosongkan premis berkenaan namun tidak diendahkan.
"Saya pernah meminta mereka untuk mengosongkan premis tersebut dan memulangkan akses kad namun mereka tidak mahu beredar dan terus tinggal di pangsapuri berkenaan.
"Malah saya turut dipukul dan dikasari walaupun saya cuba berbincang secara baik dengan mereka. Mereka buat macam negara sendiri, langsung tidak hormat orang tempatan," katanya.
Tambah Aliya lagi, pihaknya sudah membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Setakat berita ini ditulis, belum dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Pihak berkuasa juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram