PEMPENGARUH atau influencer kesihatan di media sosial, Justyn Vicky yang maut ketika sedang menggunakan peralatan gimnasium baru-baru ini sempat menghubungi ibunya sebelum meninggal dunia.
Memetik laporan media antarabangsa, detiknews, Justyn menghubungi ibunya menerusi panggilan video dan meminta agar wanita itu mendoakan keselamatan dirinya sebelum melakukan pembedahan melibatkan kecederaan tengkuk yang dialami.
Justyn memberitahu ibunya, Busia yang dia mengalami kecederaan patah tulang tengkuk akibat dihempap barbel dan akan dibedah.
Mendengar berita tersebut, Busia terus menangis dan di saat itulah Justyn cuba menenangkan ibunya dan turut meminta warga emas berusia 52 tahun itu agar mendoakan keselamatan dirinya.
Ibu Justyn Vicky di pusara anaknya yang meninggal akibat dihempap barbel. — Agensi
"Ibu jangan menangis, berdoa saja. Saya akan dibedah nanti," kata Busia, menceritakan semula kata-kata terakhir Justyn kepadanya ketika ditemui wartawan pada Isnin.
Setelah panggilan video tersebut, Busia terus ke Bali dengan ditemani bekas isteri dan anak Justyn.
"Kami sampai di hospital pada pukul 11 malam dan ketika itu dia (Justyn), sudah selamat melakukan pembedahan.
"Namun sejam kemudian, kira-kira pukul 12 malam, doktor memberitahu anak saya sudah meninggal dunia.
"Jenazahnya dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di belakang rumah," katanya yang tinggal di Jember, Jawa Timur.
Terdahulu, Majoriti memetik laporan antarabangsa, melaporkan Justyn Vicky atau nama sebenarnya, Herman Fausi maut selepas kecederaan yang dialami di tengkuk ketika sedang menggunakan peralatan gimnasium.
Berdasarkan sebuah video tular di sosial media, Justyn sedang mengangkat barbel seberat 210 kilogram (kg) dengan bantuan seorang rakannya.
Justyn Vicky meninggal dunia pada usia 34 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram