SEORANG lelaki patah tangan kanan dan cedera di muka selepas terjatuh ketika sedang mandi di air terjun Seri Perigi, di Yan, Kedah pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba, Norhamidi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pada pukul 5.19 petang.
Katanya, selepas dibawa keluar dari lokasi kejadian, mangsa yang berusia 20-an dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Ini adalah kejadian kedua berlaku dalam tahun ini di kawasan rekreasi Seri Perigi Yan.
“Kami menasihatkan kepada pengunjung supaya menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan air terjun kerana pelbagai kemungkinan perkara yang tidak diingini boleh berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Anggota bomba mengusung mangsa untuk dibawa keluar dari lokasi kejadian. — Bomba
Norhamidi berkata, orang ramai juga diharap supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Dalam pada itu, video operasi membawa keluar mangsa oleh pihak bomba turut dikongsikan di Facebook oleh orang awam.
Menurut individu dipercayai penduduk kampung sekitar yang merakam operasi berkenaan, mangsa berkemungkinan terjatuh selepas cuba untuk memanjat untuk pergi ke bahagian atas air terjun berkenaan.
"Air terjun ini bila naik ikut batu ini licin. Bila licin tahu-tahu sahajalah risiko untuk tergelincir itu memang tinggi. Yang mandi dekat bawah itu kalau naik ikut tepi itu memang licin.
"Banyak orang dah yang jatuh dekat sini. Orang luar dia tak tahu, tapi kalau orang kampung tahulah, kawasan mana licin, sebab dia batu tu dia berlumut, bila kaki kita naik dia akan licin terjatuh," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram