[VIDEO] 'Bermainlah untuk pasukan ini', Badd beri ucapan terakhir sebelum 'terjun' dunia politik


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Musim ini, Baddrol mencatatkan 12 penampilan dengan empat gol dan tiga bantuan jaringan sudah direkodkan. — Facebook/SabahFC

KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar membuat keputusan mengejutkan apabila membuat persetujuan bersama dengan pihak pengurusan untuk meninggalkan pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu.

Walaupun hanya menabur bakti selama semusim setengah, namun jeneral tengah The Rhinos itu memberi pelbagai kenangan manis dengan memberi kemenangan demi kemenangan sehingga membawa Sabah FC ke kejohanan Piala AFC.

Meskipun pada awalnya perpindahannya dari Kedah ke Sabah pada musim 2022 mendapat kritikan namun Baddrol tetap membuktikan sentuhannya masih berbisa walaupun bersama kelab baharu.

Sebelum menceburi bidang lain, pemain berusia 35 tahun itu juga sempat memberikan ucapan terakhir kepada rakan sepasukan termasuklah barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sejak berada di sana.

“Saya harap anda semua dapat mendoakan kejayaan saya dalam apa jua bidang sekalipun dan saya juga berharap agar pasukan ini (Sabah) bersatu hati dan menghormati antara satu sama lain.

“Bermainlah untuk pasukan ini, untuk keluarga dan karier kita pada masa hadapan. Saya juga mengharapkan malam ini adalah satu kemenangan yang saya tidak akan lupakan untuk saya bawa balik ke Kedah nanti,” katanya dalam satu video yang dimuat naik Rhinos FC dalam laman TikTok.

Perlawanan menentang Sri Pahang yang akan diadakan malam ini merupakan kali terakhir Baddrol akan membuat penampilan sebagai pemain The Rhinos dan lebih manis ia bakal disaksikan ribuan penyokong Sabah FC di gelanggang keramat, Stadium Likas.

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan bahawa pemain berjersi 7 itu akan menceburi bidang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bakal bertanding sebagai calon di negeri kelahirannya.

Berdasarkan laporan dari Berita Harian, Baddrol dijangka bertanding dalam PRN atas tiket Perikatan Nasional (PN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram