Tular lagi, murid pedalaman Sabah kecewa terlepas wakili pasukan ke MSSM di Johor


  • Massa
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Gambar dikongsikan Lin Yee menerusi hantaran di Facebooknya memaparkan murid tersebut bersama bapanya yang sedang menaiki bot. — Facebook/LinYee

SELEPAS tular kekecewaan seorang guru pasukan bola sepak Bawah 18 Tahun (B-18) Sabah kendaliannya untuk beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kali ini tular pula nasib seorang pelajar di pedalaman negeri itu yang tidak terpilih dalam pasukan bola tampar B-12 MSSM.

Kes itu membabitkan seorang murid perempuan dari kawasan pedalaman Sabah dekat Pagalungan, daerah Nabawan, yang terletak kira-kira 195 kilometer (km) dari Kota Kinabalu.

Menerusi pendedahan terbaharu dibuat menerusi hantaran Facebook oleh individu bernama Lin Yee, dia mendakwa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Babalitan itu tidak dapat ikut serta dalam kejohanan MSSM meskipun terpilih untuk mewakili pasukan bola tampar B-12.

Lin Yee, daripada sebuah NGO, Forces Of Love tidak menamakan gadis terbabit bagaimanapun menyiarkan gambar murid tersebut menaiki bot bersama seorang lagi pelajar lain.

Gambar dikongsikan itu turut memaparkan bapa murid tersebut yang berada di atas bot berkenaan.

“Dia tidak berlatih selama satu atau dua hari sahaja dan bukan mudah untuk pelajar dari pedalaman mendapat peluang sedemikian.

“Saya telah melakukan apa yang saya mampu tetapi dia tidak dihantar (ke MSSM Johor). Saya kecewa, apatah lagi pelajar itu sendiri.

“Sejujurnya, kanak-kanak yang dipilih itu sangat baik dalam akademik dan sukan. Dan inilah peluang seumur hidupnya untuk mendapatkan sijil tertinggi bagi memohon sekolah berasrama penuh.

"Mereka berusaha lebih keras daripada sesetengah orang yang nikmati selesa di luar supaya mereka (boleh) mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan mereka," tulis Lin Yee dalam hantaran tersebut.

Menerusi hantaran itu, Lin Yee turut membawa perhatian mengenai isu tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Perkongsian itu turut mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 800 tanda emoji.

“Di manakah keprihatinan terhadap anak-anak kita di pedalaman Sabah?” soal Lin Yee yang turut menambah bahawa sekolah itu terletak di Pagalungan Kecil, berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata, akses ke sekolah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan jalan dan murid hanya boleh keluar dengan dengan bantuan bot.

Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak perkara itu terlebih dahulu sebelum mengulas.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan khas RM50,000 untuk menghantar pasukan bola sepak B18 dan B15 dari Keningau ke MSSM Johor yang dijadual pada 25 hingga 30 Ogos ini.

Susulan rungutan yang tular di media sosial itu, Ellron berkata, beliau membentangkan cadangan untuk peruntukan khas itu semasa mesyuarat Kabinet negeri pada Khamis lalu dan ia diluluskan sebulat suara.

“Walaupun kejohanan MSSM bukan tanggungjawab kementerian, sebagai rakyat Sabah dan atas semangat kesukanan, kami cuba membantu kerana pasukan ini mungkin mewakili Sabah di peringkat lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Asia atau Olimpik.

“Saya memandang serius perkara ini. Kami tidak boleh memandang ringan perkara ini, kami mesti membantu merealisasikan impian mereka,” tambah Ellron yang juga bekas pelari pecut negara. — TheStar/DURIE RAINER FONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram