Hentikan amalan minta, beri komisen kepada 'pak menteri' — PM


  • Primer
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Anwar (tengah) memotong riben simbolik merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi pada Khamis. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan dihentikan segera.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.

"Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan.

"Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan. Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar?

"Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di desa tasik Sungai Besi, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Anwar, adalah lebih baik 'peruntukan komisen' berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram