"SAYA terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring,” kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Menurut Nur Alia Nordin, 28, semasa kejadian, dia berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkan dirinya segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut.
Nur Alia berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat. — Bernama
"Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit.
"Saya rasa macam nak menangis apabila sampai di lokasi kejadian dan lihat orang terbakar depan mata. Kepulan asap sangat tebal. Meskipun saya tidak mengenali mangsa rentung, namun ia memberi kesan kepada saya, ngeri kejadiannya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.
Dia kini trauma kerana masih terngiang-ngiang mangsa meminta pertolongan serta terbayang kejadian itu selain kesal kerana tidak berdaya untuk membantu meskipun antara yang terawal berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Zainuddin Hashim, 53,berkata, dia dimaklumkan tentang nahas tersebut oleh anak lelakinya yang kebetulan lalu di situ.
"Semasa kejadian saya berada di pejabat di Denai Alam dan dihubungi oleh anak saya yang memaklumkan ternampak sebuah pesawat ringan terbang di udara dalam keadaan enjinnya terbakar.
"Dia menceritakan pesawat itu itu cuba mendarat namun terhempas sebelum serpihan pesawat yang terbakar itu terkena seorang penunggang motosikal yang lalu di jalan berkenaan,” katanya yang terus bergegas ke tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari pejabatnya.
Sebaik tiba, katanya, dia ternampak anggota bomba sedang sibuk memadamkan api yang sedang marak dipercayai daripada bangkai pesawat riangan itu dan orang ramai juga mula tertumpu selepas kejadian itu tular di media sosial.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kapal terbang kendalian Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Langkawi dan dalam perjalanan ke Subang sebelum terhempas di Elmina kira-kira pukul 2.40 petang.
"Pesawat yang berlepas dari Langkawi itu dibenarkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang apabila terputus komunikasi dengan menara kawalan.
"Namun, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh jalan raya di Elmina lalu melanggar sebuah kereta dan motosikal," jelas Hussein Omar. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram