TINDAKAN seorang warga emas mengamuk sambil menghayunkan senjata tajam terhadap sekumpulan lelaki menjadi bualan warga maya.
Manakan tidak, melalui video tular yang dimuat naik pada Sabtu di Facebook itu menunjukkan warga emas tersebut menghayun pisau pemotong daging kepada sekumpulan lelaki tersebut dengan penuh perasaan amarah.
Pada masa sama, ada juga dalam kalangan pemuda terbabit yang bertatu cuba menenangkan warga emas tersebut, namun tidak diendahkan.
Kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah lokasi di Sibu, Sarawak pada Sabtu.
Melalui video berdurasi dua minit lebih berkenaan memaparkan berlaku perang mulut di antara warga emas itu dengan sekumpulan lelaki tersebut.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila mereka menjerit ke arah satu sama lain sebelum warga emas berkenaan mula menghayunkan pisau pemotong daging tersebut ke arah mereka.
Menjengah ke ruangan komen, difahamkan kekecohan itu berlaku ekoran daripada warga emas berkenaan tidak berpuas hati dengan tindakan sekumpulan lelaki itu yang selalu membuat bising di kawasan tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Kwong Hui mendakwa, warga emas tersebut telah menegur sekumpulan lelaki berkenaan untuk tidak membuat bising namun tidak diendahkan.
"Bunyi bising daripada sistem audio kereta di kawasan perumahan itu yang membuatkan dia mengamuk.
"Pak cik itu sudah nasihatkan mereka banyak kali namun tidak dihiraukan, " tulisnya.
"Tak kira kaum atau agama. Jika melampaui batasan hidup, inilah yang terjadi.
"Semua orang akan marah jika selalu membuat bising di kawasan kejiranan. Saya sokong tindakan uncle (pak cik)," kata Ijal Hashim pula.
Dalam pada itu, polis menahan dua beranak yang mengamuk dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, akibat berang dengan individu yang membuat bising ketika menguji sistem audio kereta berhampiran kediaman mereka, di Jalan Bukit Assek, Sibu pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di hadapan bangunan lot kedai, berhampiran rumah mereka.
"Kedua-dua lelaki berusia 69 dan 33 tahun dicekup selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 2.07 petang.
"Senjata yang digunakan turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zulkipli berkata, punca kejadian kerana suspek berang dengan bunyi bising sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.
"Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan beberapa lelaki iaitu pelanggan kedai aksesori audio berkenaan.
"Suspek bertindak mengugut dan menghayunkan senjata iaitu pisau pemotong daging namun tiada kecederaan dilaporkan," katanya.
Zulkipli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram