PENGUNDI muda diseru untuk segera menjalankan tanggungjawab membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu.
Penyandang kerusi DUN Sungai Kandis yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, peratusan pengundi muda setakat pukul 10 pagi Sabtu dilihat masih berkurangan.
"Setakat ini seperti mana yang kita lihat proses mengundi berjalan dengan lancar dan orang awam turun seawal pukul 7 pagi.
"Saya menyeru kepada pengundi muda agar turun ke pusat pengundian dan tunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi di negeri Selangor dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Majoriti selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Mohd Zawawi yang ditemani isterinya Hazlina Abd Razak turut meluangkan masa bersama penduduk tempatan.
PRN Selangor di DUN Sungai Kandis kali menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Wan Dzahanurin daripada Perikatan Nasional (PN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram