'Selagi ada nyawa', Berkerusi roda tak lunturkan semangat Muhammad Ali memangkah pada usia 83 tahun


  • Politik
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Muhammad Ali tiba sambil dibantu petugas yang menolaknya menggunakan kerusi roda disediakan.

BERKERUSI roda merupakan antara cabaran yang dihadapi pengundi kurang upaya dan dalam golongan warga emas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam lokasi seluruh negara.

Situasi tersebut turut dihadapi seorang individu berusia 83 tahun di Sekolah Kebangsaan Seksyen 11, Kota Damansara, Selangor untuk pengundian di DUN Kota Damansara.

Muhammad Ali Abdullah yang dahulunya seorang pekerja separuh kerajaan menceritakan bahawa situasinya itu tidak menghalangnya daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

"Saya sudah berumur 83 tahun, memasuki 84, selagi ada nyawa, bolehlah (untuk turun mengundi)," katanya kepada Majoriti.

Dia yang hadir sambil ditemani dua individu lain dibantu petugas pusat pengundian untuk dibawa ke saluran ditetapkan menggunakan kerusi roda yang disediakan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan petugas sememangnya meringankan beban selain memudahkan urusan di pusat berkenaan.

"Alhamdulillah, saya memang terhutang budi, macam anak saya sendiri. Semua macam anak-anak saya," katanya.

Pertembungan tiga penjuru disaksikan di DUN Kota Damansara dengan Izuan Kasim mewakili Pakatan Harapan, Radzlan Jalaludin mewakili Perikatan Nasional dan A Sivarajan bersama Parti Sosialis Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram