Kontroversi MB Sanusi tidak jejas kemenangan selesa di Jeneri


  • Politik
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Muhammad Sanusi ketika membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sik, pada Sabtu.

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah menepati ramalan apabila menewaskan pencabarnya, Muhamad Khizri Abu Kassim yang mewakili Pakatan Harapan.

Muhammad Sanusi yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional meraih 16,050 undi sementara lawannya itu hanya mengumpul 5,773 undi.

Keputusan tersebut menyaksikan Muhammad Sanusi mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kedua selepas pertama kali menang pada 2018.

Untuk rekod, terdapat 35,097 pengundi berdaftar untuk DUN Jeneri yang mana merupakan kenaikan melebihi 7,000 berbanding PRN yang lalu.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 2018 bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, keputusan yang memihak kepada Muhammad Sanusi itu juga menunjukkan bahawa sentimen terhadap dirinya tidak menggugat penduduk Jeneri untuk kekal memilih beliau sebagai wakil rakyat.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi sempat menimbulkan kontroversi apabila didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila dengan sengaja menayang kertas undi beliau kepada petugas media.

Memetik perkongsian seorang pengguna laman X, @La_FarEast, gambar yang dilampirkan jelas menunjukkan Muhammad Sanusi, mempamerkan pilihan beliau di atas kertas undi itu, sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram