SEORANG warga emas wanita tidak sempat mengundi apabila tiba-tiba rebah selepas mencelup dakwat jari di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa berusia 83 tahun disahkan meninggal dunia pukul 11 pagi selepas menerima maklumat dari Pembantu Kesihatan di Klinik Kesihatan Gemencheh.
Menurutnya, wanita berkenaan hadir ke sekolah itu untuk mengundi bersama-sama ahli keluarga yang lain dan berjalan kaki menuju ke Saluran 1.
“Selepas mencelup jari dalam dakwat di Saluran 1, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri lalu dibawa oleh ahli keluarga ke Klinik Kesihatan Gemencheh.
“Pengundi terbabit sedarkan diri, namun paras oksigennya semakin menurun sebelum bantuan CPR diberikan, tetapi masih gagal diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, wanita berkenaan tidak sempat mengundi dan sebelum kejadian, warga emas itu sempat mengadu kepada keluarganya mengalami sakit kaki sejak balik dari mengerjakan ibadah umrah.
“Semakan mendapati si mati mempunyai rekod perubatan sakit darah tinggi. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram