[VIDEO] Ibu jari kaki hampir putus lepas dikapak lelaki gila talak di Sabah


  • Tular
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian seorang lelaki mengamuk dan menetak seorang lelaki lain yang berada di dalam sebuah kenderaan diparkir di depan Menara Kinabalu pada Jumaat.

SEORANG lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak dengan kapak oleh bekas suami kekasihnya ketika menikmati makan malam di dalam sebuah kereta yang diparkir di bulatan berhampiran Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 9 malam, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah memaklumkan, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 37 tahun itu mengalami luka di muka, tangan dan kaki, manakala ibu jari kaki kanan hampir putus.

Mohd Zaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan insiden berkenaan berlaku akibat rasa cemburu bekas suami.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama kekasihnya berusia 30 tahun sedang makan di dalam kereta.

“Secara tiba-tiba, tiga lelaki termasuk bekas suami menghampiri mangsa sebelum bertindak menyerang menggunakan sebilah kapak," katanya pada Jumaat.

Ujarnya, mangsa dan kekasihnya berjaya menyelamatkan diri dan menuju ke Balai Polis Alam Mesra, Kota Kinabalu.

Tambahnya lagi, mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi menerima rawatan, namun teman wanitanya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis kini giat mengesan bekas suami yang dikenali sebagai Winhal Jalali 37, Abdel Jalali 27, dan seorang lagi rakan suspek yang belum dikenal pasti,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, tular video memaparkan seorang lelaki mengamuk dan bertindak menetak seorang lelaki lain yang berada di dalam sebuah kenderaan diparkir di hadapan Menara Kinabalu, Sabah.

Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan dilihat meluru ke arah kereta mangsa dan menetaknya secara berulang kali menggunakan kapak hingga menyebabkan dia tidak mampu untuk mengelak amukan si suami.

Dalam masa sama, turut kelihatan seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan dan belakang kereta sementara cuba membuka pintu difahamkan untuk membawa wanita itu keluar.

Dalam situasi tegang itu, mangsa dilihat berjaya memecut keretanya sebelum meninggalkan lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram