Polis Penang parah kena tetak di dahi dan kepala oleh pemuda lari ‘roadblock’


  • 112
  • Rabu, 01 Mac 2023

Mohd Shuhaily (gambar) berkata, anggota polis lelaki berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan luka torehan di dahi sepanjang 9 sentimer.

ANGGOTA polis berpangkat lans koperal cedera parah di dahi dan kepala selepas ditetak seorang lelaki yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR), dalam kejadian di Lengkok Angsana, Air Itam, George Town, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam Selasa itu, sepasukan polis menjalankan SJR di hadapan Balai Polis Bandar Baru, di sini sebelum mendapati seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal bertindak berpatah balik ketika menghampiri sekatan tersebut.

"Ketua balai tersebut mengarahkan dua anggota polis mengekori motosikal berkenaan sebelum berjaya menahannya kira-kira 150 meter dari SJR dan lelaki berusia 33 tahun tersebut bertindak membuat provokasi ke atas anggota terbabit.

"Suspek secara tiba-tiba mengambil sebilah pisau pemotong daging terdapat di atas meja hadapan sebuah rumah teres di kawasan itu sebelum menyerang lans koperal tersebut dengan menetaknya di kepala serta dahi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke atas anggota cedera itu yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Pulai Pinang pada Rabu.

Katanya, suspek melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya manakala seorang lagi anggota polis memberi bantuan awal kepada rakannya yang cedera sebelum dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

Mohd Shuhaily berkata, anggota polis lelaki berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan luka torehan di bahagian hadapan kepala iaitu dahi sepanjang 9 sentimer (cm) dan belakang kepala 6cm malah turut retak tengkorak kepala bahagian kiri.

Katanya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HPP.

"Sementara itu, pemeriksaan pihak polis di bawah tempat duduk motosikal suspek, menemukan 30 bungkusan kecil mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 210 gram dan satu dompet milik suspek," katanya.

Katanya, polis berjaya menahan lelaki tersebut di kawasan rumah pangsa Angsana, di Air Itam di sini pada 3.30 pagi tadi dan turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Lelaki itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah, polis tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri daripada SJR tersebut kerana membawa dadah yang dipercayai untuk dijual," katanya.

Lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pengedaran dadah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram