Kedah, Terengganu umum Ahad cuti peristiwa jika menang PRN


  • Primer
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Peralatan pusat mengundi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi DUN Dengkil sempena Pilihan Raya Negeri yang berlangsung Sabtu. — Bernama

KERAJAAN Negeri Kedah mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cuti berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada seluruh rakyat negeri berkenaan.

"Kerajaan Negeri Kedah akan mengumumkan cuti peristiwa pada hari Ahad 13 Ogos 2023 jika PN berjaya membentuk kerajaan pada 12 Ogos 2023," katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri Terengganu turut mengumumkan hari Ahad sebagai cuti peristiwa sempena PRN.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti pada 13 Ogos itu bagi memudahkan pengundi luar yang bekerja di negeri ini pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk mengundi.

"Cuti ini juga mengambil kira tugasan dan bagi memudahkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas sehingga lewat malam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negeri pada hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap pengumuman ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua yang terlibat dalam proses demokrasi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram