POLIS menafikan terdapat pihak yang cuba ‘memerangkap’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehingga boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada beliau.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, istilah ‘perangkap’ mungkin digunakan sebagai memberi bayangan beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sewaktu dalam perjalanan menghadiri ceramah.
“Dia (Sanusi) gunakan istilah 'terperangkap'. Dia mungkin terperangkap dalam kesesakan (lalu lintas), itu yang tak dapat pergi kempen.
"Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang, jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud perangkap,” katanya ketika sidang media selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Muhammad Sanusi tidak hadir ke ceramah Mega Perikatan Nasional di Padang Awam Sungai Petani, Kedah pada Ahad bagi tujuan menjamin keselamatannya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan polis yang ingin dibuat Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan terhadap Sanusi, Ayob Khan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada individu berkenaan.
“Setakat ini tidak ada laporan dibuat. Itu mungkin hanya kenyataan (kata nak buat laporan),” ujarnya.
Pada Isnin, Vincent dilaporkan mengemukakan saman terhadap Muhammad Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Keputusan itu dibuat ekoran kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Kumpulan Berjaya dalam satu kenyataan memaklumkan, satu surat tuntutan telah dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu yang menuntut beliau menarik balik kenyataan tersebut tanpa syarat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
