SEORANG lelaki berusia 37 tahun akan menjadi individu pertama didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baharu kerana perbuatan menghendap.
Lelaki itu didakwa membuat tindakan tersebut dan melakukan gangguan seksual terhadap seorang jurugambar wanita popular selama bertahun-tahun termasuk dengan menghantar gambar lucah dirinya dan mengikuti mangsa ke United Kingdom (UK).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki terbabit bakal didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
“Dia akan dibawa ke mahkamah Shah Alam pagi esok (10 Ogos) untuk menghadapi pertuduhan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan baharu, perbuatan menghendap atau stalking ditakrifkan sebagai tindakan gangguan berulang yang bertujuan atau mungkin menyebabkan kesusahan, kegemparan atau ketakutan kepada keselamatan sesiapa.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah menerima laporan mengenai gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita itu sejak 2018.
Dalam satu siri ciapan di Twitter pada Julai lalu, Acacia Diana mendedahkan mengenai pengalaman pahitnya apabila dihendap dan diganggu secara seksual oleh seorang lelaki selama hampir lapan tahun.
Story Time. The Stalking & Sexual Harassment case of 8 years.
1.I always wanted to share about wonderful things & stories from the world. Unfortunately today I have to share about something utterly disgusting. Even more unfortunate, it’s happening to me. pic.twitter.com/b3ZOx48qqZ
— Acacia Diana (@ShaFoShizzle) July 13, 2023
Dia berkata, pengalaman pahit itu bermula pada 2016 apabila dia membuat blog untuk mendokumentasikan perjalanan karier dan projeknya sebelum mula menerima komen pelik terhadap bahan dimuat naik di platform berkenaan.
Setahun kemudian, jurugambar itu mendakwa seorang "lelaki menakutkan" datang kepadanya dan memberitahu minatnya terhadap hasil kerja dilakukan Acacia semasa wanita itu sedang berada di restoran bersama rakannya.
"Saya berterima kasih kepadanya dan memberitahunya untuk meninggalkan kami sendirian," menurut ciapan tersebut.
Acacia juga mendakwa bahawa semasa belajar di UK pada November lalu, dia mendapat panggilan daripada keluarganya yang mengatakan bahawa seorang lelaki datang ke rumahnya dan memberitahu ayahnya mahu menjadi kawannya.
Katanya, semasa berada di UK pada Disember tahun lalu, suspek dipercayai bertindak mengekorinya ke negara tersebut dan turut mendaftar untuk kelas yang dihadirinya.
Dakwa mangsa lagi, suspek turut menghantar mesej di Instagram yang menunjukkan dirinya sedang beronani.
Lelaki tersebut difahamkan sudah ditangkap di UK dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara polis menyiasat kes itu di sana.
Acacia berkata, polis di UK turut berhasrat mendakwa lelaki berkenaan kerana melakukan gangguan seksual dan menghendap namun suspek meninggalkan negara tersebut untuk ke Malaysia dan tidak hadir pada hari perbicaraan di mahkamah.
Dia mendakwa sejak April tahun ini, suspek masih terus mengganggunya termasuk dengan menghantar gambar kemaluannya. — The Star/AUSTIN CAMOENS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram