[VIDEO] Kekal calon PAS: Status Sanusi sebagai MB Kedah undang tanda tanya


  • Politik
  • Khamis, 20 Jul 2023

Tuan Ibrahim mengesahkan PAS kekalkan Muhammad Sanusi (gambar) sebagai calon mereka pada PRN Ogos depan, namun tidak mengulas sama ada beliau akan kekal sebagai calon MB Kedah ataupun tidak. — Bernama

PENDAKWAAN dibuat terhadap pemimpin utama Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada Selasa menimbulkan tanda tanya berkenaan nasib bakal dihadapi pemimpin itu dalam karier politiknya.

Ini kerana sekiranya didapati bersalah, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berpotensi dilucutkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pendakwaan dibuat di Mahkamah Sesyen, Selayang Selangor, Muhammad Sanusi dituduh atas dua kesalahan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan tersebut yang dipercayai mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Jika didapati bersalah, Perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] menyatakan beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas mengenai ketidaktentuan status Muhmmad Sanusi itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Rabu berkata, partinya akan mengekalkan pemimpin itu sebagai calonnya dalam PRN pada Ogos depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS yang diadakan pada Selasa.

Jelas Tuan Ibrahim, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat belum hilang kelayakan untuk bertanding dan baru berdepan proses pertuduhan di mahkamah dengan perbicaraan akan berlangsung pada Oktober depan.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut dilihat belum menyelesaikan satu lagi tanda tanya berkenaan status pemimpin itu sebagai calon Menteri Besar dari PN sekiranya gabungan itu berjaya mempertahankan Kedah dalam PRN akan datang.

"Calon PRN? Bukan calon MB. Ini lawak, bermakna akan ada MB baharu," ujar Ali Ko.

"Tuan Ibrahim kata Sanusi kekal calon PAS. Dia ada sebut ke kekal MB Kedah?" soal Noah Sebastian.

"Confirm Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) akan cucuk calon dia MB sebab Sanusi ada potensi sangkut kes derhaka dengan Sultan Selangor," tulis Muhammad Athir. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram