Axia dilanggar kereta api di Pelabuhan Johor


  • 112
  • Khamis, 14 Apr 2022

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kereta Perodua Axia dilanggar kereta api. — Majoriti

TULAR di Facebook video kemalangan melibatkan kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan sebuah kereta Perodua Axia pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu berlaku pada Rabu sekitar pukul 9.40 pagi di Pasir Gudang, Johor.

"Kejadian berlaku di KM31.20 landasan kereta api berdekatan pintu masuk utama Pelabuhan Johor.

“Kereta api itu dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari stesen Pasir Gudang menuju ke stesen Pelabuhan Johor," kata Mohd Sohaimi.

Beliau berkata, pemandu kereta api itu telah terlanggar sisi hadapan kiri kereta dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun yang dalam perjalanan memasuki pintu masuk utama Pelabuhan Johor.



Video tular memaparkan sebuah kereta dilanggar kereta api. Majoriti

"Akibat perlanggaran itu, kereta terbabit mengalami kerosakan.

"Kedua-dua pemandu dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan," tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram