KTMB tawar khidmat lebih kerap ke Batu Caves sempena Thaipusam


  • Primer
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Sambutan selama tiga hari itu dijangka akan menarik lebih ramai pengguna ke Batu Caves.

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan kereta api tanpa henti ke Batu Caves bermula 4 hingga 6 Februari sempena perayaan Thaipusam.

Perkhidmatan tambahan adalah untuk laluan Sungai Gadut-Batu Caves dan Pelabuhan Klang-Batu Caves yang kerap menerima pengguna dalam beberapa perayaan sebelum ini.

Selain itu, 26 stesen juga akan beroperasi selama 24 jam dalam tempoh yang sama dan Thaipusam jatuh pada 5 Februari tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, kira-kira 182,000 penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan Komuter semasa musim perayaan itu.

“Operasi tren di Lembah Klang pada 4 hingga 6 Febuari akan mengikut jadual waktu tren hari minggu, manakala tren tambahan akan beroperasi selepas tamat waktu operasi tren yang dijadualkan dengan kekerapan satu jam.

“Secara keseluruhan, terdapat 56 tren tambahan di atas 128 tren sepanjang perkhidmatan biasa setiap hari,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Tambahnya, kira-kira 300 kakitangan KTM akan turut bertugas bagi memastikan operasi optimum.

Stesen yang akan beroperasi sepanjang tempoh itu adalah termasuk Batu Caves, Sungai Gadut, Senawang, Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Kentonmen, Sentul, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral, Seremban, Nilai, Kajang, Bandar Tasek Selatan, Shah Alam, Pelabuhan Klang dan Klang.

Bagaimanapun, Mohd Rani turut menambah tiada perkhidmatan tambahan bagi laluan Tanjung Malim-Segambut.

“Ia juga diwajibkan bagi semua penumpang untuk memakai topeng semasa menggunakan perkhidmatan itu, seperti yang dikehendaki oleh kerajaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram