Isu gaji graduan, penjawat awam rendah dibincang minggu depan — PM Anwar


  • Primer
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Anwar ketika menyampaikan Anugerah Kertas Kerja Terbaik kepada Muhammad Muzammil (dua kanan). — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat pertama bagi mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam minggu depan akan turut merangkumi perbincangan mengenai gaji graduan.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah menetapkan bahawa satu jawatankuasa akan bermesyuarat bagi membincangkan penyelarasan gaji minggu depan, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Semua perkara ini kita akan ambil kira. Umumnya, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-ALLAH dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat.

"Secara tradisinya, jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat," katanya kepada pemberita pada Sabtu selepas ditanya pandangan beliau berkenaan gaji graduan yang kini dianggap merosot ke paras gaji minimum.

Anwar ditemui selepas memberi ucapan perasmian di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan 'Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik' itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta.

Pada majlis itu juga, Anwar sempat menyampaikan Anugerah Kertas Kerja Terbaik kepada Muhammad Muzammil Kamis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram