PM Anwar gesa angkat kepakaran IPT, universiti pacu kepesatan ekonomi negara


  • Primer
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Anwar hadir Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 Seberang Jaya pada Sabtu. — Bernama

PERDANA Menteri mahu supaya kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara diangkat bersama-sama Kerajaan Pusat dalam memacu kemajuan negara dengan lebih pesat.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau akan meminta pengurusan IPT dan universiti memberikan laporan terperinci berkenaan kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki institusi masing-masing.

Ia menurut Perdana Menteri bertujuan supaya laporan berkenaan dapat dipadankan dalam pentadbiran Kerajaan Pusat kelak.

“Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara.

“Jadi, saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Pusat.

“Andaiannya, jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbuhan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah dii luar jangkaan,” katanya.

BUKIT MERTAJAM, 5 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar mahu kepakaran yang dimiliki IPT dan universiti dapat dijadikan input dalam merangka Belanjawan Madani 2.0 yang akan dibentangkan pada Oktober ini. — Bernama

Beliau berucap merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) di Bukit Mertajam, pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’ itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran dimiliki IPT bagi merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan, pada Oktober depan.

"Saya minta input, teguran, kritikan daripada (ahli) akademik. Saya okay, tiada masalah. Jangan bimbang kalau ada ahli akademik yang memberikan pandangan sedikit menyimpang, saya tiada masalah.

“Sebab saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi yang jelas antara universiti dan Kerajaan Pusat," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram