MyMidCareer40 bantu 13,070 individu 40 tahun ke atas dapat kerja semula


  • Primer
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Inisiatif MyMidCareer40 antara lain bertujuan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan pencari kerja berumur 40 tahun ke atas.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) membantu 13,070 individu berusia 40 tahun ke atas untuk bekerja semula menerusi inisiatif MyMidCareer40, di seluruh negara sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program itu dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia bagi menyediakan peluang kepada golongan pencari kerja berumur 40 tahun dan ke atas.

"Golongan ini diyakini berupaya memacu sosioekonomi penduduk, namun tidak meminggirkan pencari kerja dalam kalangan belia.

"Pendekatan mengoptimumkan guna tenaga kerja ini juga adalah sebahagian daripada persediaan membantu negara mendepani peralihan pasaran buruh ke arah negara menua," katanya.

DSC07993

Mohammed Azman yakin golongan berusia 40 tahun ke atas berupaya memacu sosioekonomi penduduk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Peralatan Bengkel Tajaan Program Cakna Prihatin di Kampung Hutan Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu, pada Ahad.

Turut hadir Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, sebanyak 2,539 jawatan kosong dalam pelbagai sektor ekonomi ditawarkan PERKESO sempena penganjuran Karnival Kerjaya MyFutureJobs Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

"Penawaran jawatan kosong ini dengan skala gaji antara RM1,500 hingga RM11,200 sebulan," ujarnya.

Mohammed Azman berkata, sebanyak 28 majikan daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, pembinaan, penginapan, perdagangan runcit serta perkhidmatan makanan serta minuman (F&B) menyertai karnival itu.

Menurutnya, karnival bertemakan 'MyMidCareer40' itu bertepatan dengan latar belakang demografi penduduk di Kelantan yang merupakan antara negeri mencatatkan bilangan tanggungan tinggi bagi ketua isu rumah.

Ujarnya lagi, program itu adalah satu daripada usaha pemerkasaan golongan pencari kerja berusia 40 tahun dan ke atas yang diharap turut memberikan konsep perlindungan sosial secara inklusif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram