Forum Menteri G20: Perkeso ketengah polemik sektor gig


  • Primer
  • Isnin, 24 Jul 2023

Dr Mohammed Azman bercakap di Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20.

PENYEDIAAN perlindungan sosial bagi kedua-dua kategori penggiat sektor gig dan platform dalam talian di seluruh dunia didapati tidak seimbang, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah intervensi itu perlu kerana kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan bahawa hanya 15 peratus daripada keseluruhan penggiat sektor gig di seluruh dunia yang bekerja menerusi platform dalam talian dilindungi insurans bencana kerja.

"Perangkaan berbeza dicatatkan untuk penggiat gig di lapangan apabila satu pertiga atau kira-kira 33 peratus daripadanya mempunyai perlindungan yang sama," katanya.

fcbabb16-f063-42a7-a93c-1a317b278994

Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20 di Indore.

Dr. Mohammed Azman berkata demikian menerusi kenyataan selepas diundang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20 di Indore, India, menerusi kapasitinya sebagai Presiden ISSA pada Jumaat.

Beliau yang dilantik menyandang jawatan Presiden ISSA ke-17, bagi tempoh selama tiga tahun hingga 2025 menjadi antara panel pembentangan di pentas forum antarabangsa itu bagi mewakili lebih 320 anggota institusi tersebut dari 163 negara.

Pembentangan tersebut terarah kepada penekanan mewujudkan pendekatan terbaik dalam menyediakan liputan perlindungan sosial untuk komuniti platform dan penggiat gig yang semakin berkembang di seluruh dunia.

Topik tersebut adalah selari dengan tumpuan Mesyuarat Menteri yang meneruskan momentum perbincangan tentang usaha pemulihan pasca Covid-19 yang turut mencakupi kegusaran mengenai keperluan mewujudkan langkah kawalan sewajarnya kepada kemunculan ekonomi baharu gig, yang disentuh pada Forum G20 di Bali, Indonesia, tahun lalu.

Pembentangan Dr. Mohammed Azman juga menjurus kepada jaminan manfaat saksama dari segi jaringan perlindungan sosial kepada komuniti pekerja, tanpa mengira latar belakang sektor dalam situasi dunia yang berdepan beberapa rintangan utama.

Ia meliputi aspek jaminan keutuhan fiskal yang lestari, penyesuaian sistem kepada isu penuaan penduduk, usaha meliputi ekonomi tidak formal dan mengoptimumkan sokongan keselamatan sosial demi mengukuhkan jaringan perlindungan sedia ada.

f72a6389-3599-4802-9730-e48d4cc531de (1)

Dr Mohammed Azman bercakap di Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20.

Beliau mencerakinkan situasi semasa tahap perlindungan sosial yang diperuntukkan kepada dua jenis kategori penggiat gig.

Merentasi spektrum jenis perkhidmatan, sektor gig terbahagi kepada yang bekerja di lapangan bersama pelanggan seperti pemandu teksi, manakala satu lagi kategori ialah pekerja dalam talian, contohnya pembangun perisian dan pekerja sambilan.

Sementara itu, Dr. Mohammed Azman berkata, keperluan menggubal perundangan dan pelaksanaan dasar bersesuaian demi memastikan perlindungan sosial yang saksama supaya mencakupi penggiat sektor gig di seluruh dunia.

"Bersandarkan gesaan di pelbagai peringkat, kemajuan berhubung usaha sebegini mula memberikan sinar harapan kepada penggiat sektor gig, namun ledakan perubahan teknologi dan pendekatan perniagaan memerlukan setiap strategi pelaksanaan serta kaedah kawal selia diselaraskan dari semasa ke semasa," katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan Kumpulan 20 (G20) 2023 berlangsung selama dua hari di Indore, India pada minggu lalu.

Mesyuarat peringkat Menteri yang berakhir pada 21 Julai 2023, telah sebulat suara mengesahkan tiga Dokumen Hasil G20 termasuk Keutamaan Dasar G20 mengenai Perlindungan Sosial yang Mencukupi dan Mampan serta Kerja Wajar untuk Pekerja Gig dan Platform.

Salah satu agenda yang dibincangkan ialah perkembangan pesat ekonomi gig di seluruh dunia yang telah mencetuskan keprihatinan negara G20 terhadap perlindungan sosial kepada penggiat gig. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram