DATUK Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di Plaza Damas di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.
Ketika ditanya wartawan The Star, Ahmad Faizal menegaskan laporan itu adalah fitnah dan dia dalam perjalanan untuk membuat laporan balas polis terhadap wanita itu.
"Ini semua fitnah, saya berada di negeri lain ketika itu.
"Bagaimana saya boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu kepada wanita berkenaan sedangkan saya tidak berada di sana ketika itu?
"Saya sedang berbincang dengan peguam saya dan akan mengeluarkan kenyataan penuh tidak lama lagi," katanya.
Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau akan memfailkan laporan itu di Balai Polis Hartamas pada Khamis.
Dalam laporan polis berkenaan, seorang wanita mendakwa ketika kejadian dia sedang berjalan ke pejabat di Plaza Damas apabila seorang lelaki yang didakwanya sebagai Ahmad Faizal Azumu mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadapnya.
“Saya sangat marah dan malu dan terus berjalan ke Blok M (Plaza Damas). Saya kemudian menceritakan kisah itu kepada suami.
“Suami saya mahu berjumpa Ahmad Faizal dan saya dinasihatkan ke balai polis untuk membuat laporan polis demi keselamatan saya,” kata pengadu dalam laporan yang tular di media sosial.
Setakat berita ini ditulis, wartawan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada wanita berkenaan.
Terdahulu, laporan polis yang dibuat wanita berkenaan kini tular di media sosial. — TheStar/ZAKIAH KOYA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram