Bukan sekadar popular, kriteria '3C' calon PRN 2023 perlu diketahui sebelum buat pilihan


  • Politik
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Seramai lebih 9.7 juta pengundi akan keluar mengundi pada PRN di enam negeri pada 12 Ogos depan. — Gambar hiasan

DALAM Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan seramai lebih 9.7 juta pengundi akan keluar bagi memilih wakil rakyat masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

Daripada enam negeri yang terbabit iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, seramai 572 calon tampil menawarkan diri untuk merebut 245 kerusi yang dipertandingkan pada kali ini.

PRN kali ini amat penting kerana ia akan membawa kepada penubuhan kerajaan yang akan mentadbir di keenam-enam negeri tersebut bagi lima tahun ke depan.

Dalam pada itu, untuk menarik perhatian pengundi, parti dan gabungan politik yang bertanding pada kali ini turut merangka pelbagai strategi termasuk dalam menetapkan pemilihan calon yang sesuai.

Pelbagai kriteria diambil kira bagi tujuan tersebut antaranya dengan mengetengahkan calon antaranya berdasarkan populariti, pengalaman, gender, usia, latar belakang kerjaya dan pendidikan.

Bagi yang buat pertama kali mengundi atau mereka yang tidak begitu berpengalaman dalam membuat pilihan terutamanya daripada kalangan anak muda, tanggungjawab tersebut pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Apatah lagi, selain daripada semua perkara di atas, mereka juga perlu membuat keputusan dengan mengambil kira dasar dan juga manifesto yang dibuat oleh parti yang bertanding.

192277333_10225310444489639_1726031947917188790_n

Konsultan kepimpinan, Khairul Akhyar Mazlan. — Facebook/KhairulMazlan

Bagaimanapun, konsultan kepimpinan, Khairul Akhyar Mazlan menggariskan tiga aspek penting kepimpinan yang boleh digunakan oleh seseorang pengundi untuk menilai seseorang sebelum membuat pilihan.

Menurutnya, ketiga-tiga kriteria asas disenaraikan itu atau dipanggil 3C merupakan perkara asas yang perlu terlebih dahulu dimiliki calon sekiranya mereka mahu menjadi pemimpin yang baik.

1. Connect (Hubungan)

Seseorang pemimpin yang baik menurut Khairul perlu mempunyai empati dan kebolehan untuk menyelami masalah yang dihadapi penduduk setempat.

"Jadi kalau isu setempat pun tidak tahu, kemudian bila tanya pasal hala tuju pun tak boleh jawab, eloklah keluarkan sahaja calon macam ini daripada pilihan pemimpin yang anda inginkan.

"Ketika membuat pilihan, mereka yang perlu dicari adalah yang selalu berkhidmat dan tahu masalah orang yang dipimpinnya dan ada hala tuju lebih baik untuk dicapai," ujarnya.

Menurut Khairul, pengundi yang bijak adalah mereka yang memilih calon yang mempunyai matlamat dan visi jelas mahu dilaksanakan buat kebaikan masyarakat.

2. Communicate (Komunikasi)

2206090

Khairul berkata, calon yang bertanding perlu mempunyai keupayaan untuk menyelami masalah dihadapi pengundi di kawasan ditandingi. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin yang baik juga adalah mereka yang mampu bukan sahaja menyampaikan visi mereka, tetapi juga menyebarkan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab yang sudah dilaksanakan.

"Memang ada jenis pemimpin yang bagus buat kerja tapi tak pandai cerita dekat orang. Tapi situasi ini kalau dibiarkan boleh menyebabkan ramai orang beranggapan dia ini tidak buat kerja.

"Sebabnya kerja yang dia lakukan itu tidak disebarkan kepada umum kerana dari segi komunikasinya kepada masyarakat tak jelas," katanya.

Menurut Khairul, perkara itu jika tidak ditangani bakal menyebabkan calon tersebut berisiko tewas kepada lawan yang lebih popular ketika pilihan raya meskipun calon tersebut tidak mempunyai rekod khidmat yang baik sebagai wakil rakyat.

"Saya mendapati dalam PRN dan PRU lepas pun, ada calon yang tiba-tiba diangkat menjadi wakil rakyat sedangkan mereka tiada rekod dari segi berkhidmat kepada masyarakat," jelasnya.

3. Consistent (Konsisten)

Young voter, N.Leynuga,20 , cast her vote into ballot box  at  polling station at SMK Dato' Seth in Yong Peng.(12/3/2022). —AZHAR MAHFOFI/The Star

Bagi yang buat pertama kali mengundi khususnya dalam kalangan anak muda, tanggungjawab tersebut pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. — Gambar hiasan

Aspek ketiga yang perlu dinilai pengundi sebelum memilih adalah dengan melihat kepada keupayaan calon untuk secara konsisten memastikan segala bentuk pelaksanaan dilakukan itu selari dengan perancangan yang dijanjikan kepada rakyat.

Katanya, pemimpin yang baik juga perlu mempunyai pendirian teguh terhadap matlamat ingin dicapai buat masyarakat yang dipimpin dan bukan hanya bersikap populis untuk menarik pengundi bagi memilih mereka.

"Ramai calon ini yang bila dia berucap itu, orang suka dengar. Tapi ucapannya itu tidak selari dengan tindakan yang dilaksanakan. Hari ini cakap lain, esok cakap lain tapi kerja tak pernah jalan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram