Laporan dibuat 2 petang, The 1975 tinggalkan Malaysia 5.30 pagi — Ayob Khan


  • 112
  • Selasa, 25 Jul 2023

Matty bertindak mencium pemain bas The 1975 iaitu Ross McDonalds ketika membuat persembahan di Sepang pada Jumaat lalu.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak sempat mengambil tindakan terhadap kumpulan kontroversi, United Kingdom (UK), The 1975, susulan mereka sudah berlepas awal sebelum laporan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mana pihak polis tidak mengambil tindakan menangkap ahli kumpulan itu selepas kejadian tersebut.

Katanya, laporan pertama dibuat pada pukul 2 petang pada 22 Julai, iaitu beberapa jam selepas kumpulan itu terbang keluar negara.

“Ada pihak yang mempersoalkan kenapa polis tidak bertindak cepat. Kejadian ini berlaku pada 21 Julai pukul 11.30 malam dan kami difahamkan konsert itu dihentikan tidak lama kemudian.

“Difahamkan, kumpulan itu kemudiannya meninggalkan negara ini pada keesokan harinya pada pukul 5.30 pagi.

“Laporan dibuat pada jam 2 petang, jadi ketika ia dibuat, kami sudah tidak dapat mengambil tindakan kerana mereka sudah meninggalkan negara ini,” katanya.

Ayob Khan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mana pihak polis tidak mengambil tindakan menangkap ahli kumpulan itu selepas kejadian tersebut.

BACA LAGI : The 1975 batal konsert di Indonesia, Taiwan lepas cetus kontroversi Malaysia

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games, di Ibu Pejabat Polis Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sehingga Selasa, sebanyak 18 laporan polis dibuat mengenai kejadian itu, dengan lapan laporan diterima di Selangor.

Jelas Ayob Khan, sekiranya ada proses pendakwaan kumpulan The 1975, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK.

"Tidak perlu melibatkan Polis Antarabangsa (Interpol) kerana kesalahan dilakukan di Malaysia dan bukannya luar negara.

“Kesalahan yang dilakukan juga bukan kesalahan besar seperti culik, bunuh atau kes besar. Jadi tidak perlu libatkan Interpol.

"Saya yakin selepas ini, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) akan lebih berhati-hati. Mungkin akan datang, lihat secara keseluruhan. Kalau artis-artis kontroversi, tak perlu bawa masuk.

Sehingga Selasa, sebanyak 18 laporan polis dibuat terhadap kumpulan The 1975, dengan lapan laporan diterima di Selangor. — Agensi

“Puspal yang akan buat keputusan, jadi pihak-pihak penganjur perlu merujuk kepada mereka,” katanya.

Pada Jumaat lalu, vokalis The 1975, Matt Healy melakukan aksi tidak senonoh dengan mencium rakan lelaki iaitu gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.

Bukan itu sahaja, vokalisnya turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Susulan daripada peristiwa itu, penganjur membatalkan persembahan kumpulan tersebut dan baki dua hari festival muzik itu turut dibatalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital. — TheStar/JUSTINZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram