Tambah baik pengurusan sampah DUN Sungai Kandis antara 3 fokus utama Afriena Shaqira


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Afriena (tengah) bersama penyokongnya semasa penamaan calon PRN Selangor untuk DUN N49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

PENAMBAHBAIKAN sistem pengurusan sampah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis adalah salah satu daripada tiga agenda utama yang ingin diketengahkan calon dari parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff.

Menurutnya, terdapat banyak longgokan sampah ditemui di tepi jalan, termasuk berhampiran kawasan perindustrian dan perumahan dan perkara tersebut perlu ditambah baik.

"Banyak longgokan di tepi jalan, perumahan, kawasan perindustrian yang tidak mempunyai tempat pembuangan sampah yang betul.

"Terdapat banyak isu tentang penyelenggaraan sampah yang kurang baik, jadi itu antara isu yang ingin saya ketengahkan dan diperbaiki," kata calon yang berusia 26 tahun itu.

Dia berkata demikian kepada Majoriti selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk DUN49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Mengulas lanjut tentang manifestonya, Afriena Shaqira turut berhasrat untuk menambah baik liputan internet di kawasan DUN berkenaan termasuk capaian 5G.

Selain itu, dia juga ingin memperluas galakkan masyarakat untuk mempratikkan kaedah pembayaran menggunakan kod QR dalam perniagaan.

"Selain itu, saya ingin mengangkat suara anak-anak muda yang berada di DUN Sungai Kandis didengari, selain memastikan minat dan bakat mereka dapat dimanfaatkan untuk masa depan," katanya.

IMG-20230729-WA0343

Afriena ( dari kiri) bersama Mohd Zawawi (PKR) dan Wan Dzahanurin (PN) di Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Selain Afriena mewakili Muda, PRN di DUN N49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; dan Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Wan Dzahanurin Ahmad.

Disoal tentang perasaannya menjadi satu-satunya calon wanita untuk bersaing dengan calon-calon senior, Afriena tidak menafikan timbul rasa gementar berdepan pesaing lebih berpengalaman.

Bagaimanapun katanya, ia merupakan satu pengalaman yang berharga bagi dirinya untuk berkembang dalam dunia politik.

"(Perjuangan) Ini bukan untuk saya, tapi untuk penduduk di DUN Sungai Kandis dan untuk generasi baharu untuk memastikan anak muda sedar tentang politik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram